My Add

Wednesday 9 January 2013

Indonesia batal 12 permit agensi pekerjaan

JAKARTA, SELASA,  08 Januari, 2013: Sejumlah 12 agensi pekerjaan swasta di Indonesia yang membekal pekerja ke luar negara telah dibatalkan permit operasi mereka pada tahun lalu kerana beberapa kesalahan termasuk memalsukan sijil latihan dan keputusan pemeriksaan perubatan.

Agensi pekerjaan terbabit juga didapati memalsukan butiran diri calon pekerja termasuk umur mereka, selain didapati masih menghantar calon pekerja ke negara yang berstatus moratorium (penangguhan penghantaran) seperti Arab Saudi, Kuwait, Jordan dan Syria.

Sejumlah 23 agensi pekerjaan swasta juga digantung permit operasi mereka kerana pelbagai kesalahan.

"Penarikan balik permit ini merupakan satu daripada penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan. Mudah-mudahan langkah ini mampu memberi kesan mencegah kepada syarikat-syarikat lain," kata Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar, di sini.

Berikutan tindakan pembatalan permit dan penggantungan permit operasi itu, agensi pekerjaan swasta yang masih beroperasi secara sah pada masa ini menjadi 558 syarikat.

Muhaimin berkata, kerajaan terpaksa bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat terbabit kerana kesalahan yang mereka lalukan itu merugikan calon-calon pekerja yang dihantar ke luar negara.

Kementerian itu, katanya, memperketatkan kelulusan permit operasi untuk agensi pekerjaan swasta sejak tiga tahun lalu bagi menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan perkhidmatan agensi pekerjaan sedia ada.

Beliau berkata, hanya tiga permit operasi baharu diluluskan pada 2010, manakala pada 2011 dan 2012 tidak ada langsung.

"Pada masa depan kita akan terus berusaha agar secara bertahap, mereka akan menyediakan tenaga kerja formal berbanding tenaga kerja sektor tidak formal yang bekerja di sektor domestik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment