My Add

Sunday 6 January 2013

Jangan kumpul dan makan kerang di perairan pantai barat Sabah

PAPAR,  AHAD, 06 Januari, 2013: Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perikanan menasihati orang awam supaya tidak memakan kerang di perairan pantai barat Sabah disebabkan fenomena air laut merah masih dikesan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sekiranya ingin memakan kerang, pastikan ia tidak diperoleh dari pantai barat Sabah.

"Orang ramai diminta tidak memakan makanan seperti kerang, siput dan ikan-ikan pesisir pantai terutama yang diperoleh dari pantai barat Sabah.

"Jika termakan dan mengalami tanda-tanda seperti kebas, pening, muntah dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu lepas, dua kematian dilapor di Sepanggar, dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik berpunca daripada fenomena air merah di perairan pantai barat Sabah.

Rosnah berkata, daerah yang dikesan berlaku pencemaran air laut merah ialah Tasik Sitompok di Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Pulau Gaya, Sepanggar Bay, (termasuk Kuala Menggatal), Likas Bay, Papar, dan Tuaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment