My Add

Monday 21 January 2013

Kajian bebas untuk dapatkan maklum balas terhadap URB

KUALA LUMPUR, AHAD, 20 Januari, 2013: Satu kajian bebas akan diadakan untuk mendapat maklum balas orang ramai terhadap keberkesanan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dilancarkan Disember lepas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, maklum balas itu penting bagi memastikan unit itu kekal sebagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Sambutan URB ini memanglah luar biasa, tapi kalau kita nak maintain (URB), kita mestilah institusikannya, bukan sahaja melalui SOP (Prosedur Operasi Standard), tetapi dalam struktur yang sedia ada, bukan sahaja di Polis Diraja Malaysia, tetapi dengan masyarakat.

"Caranya adalah dengan adakan kajian bebas ini. Ia adalah sebuah inisiatif bebas. Sesiapa saja yang ingin sertai, sama ada pembekal motosikal, pembekal pakaian seragam, sesiapa saja. Saya anggap mereka sebagai sebahagian pemegang kepentingan dan orang ramai juga boleh menyumbang," katanya kepada pemberita selepas program URB di kawasan Ampang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abd Rahim Mohd Radzi, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan.

Hishammuddin berkata, KDN turut meminta pembekal untuk membantu polis memastikan penyelenggaran berterusan ke atas motosikal.

"Kita juga meminta satu 'template' dari Jepun untuk memberi latihan kepada pegawai-pegawai kita dalam unit URB ini. Kita berharap kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam struktur ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dalam memastikan secara jujur, tepat keberkesanan URB ini," katanya.

URB kini melalui fasa pertama pelaksanaan dengan pengagihan 560 buah motosikal Kawasaki Ninja 250 (STD) di empat negeri dalam kategori 'hotspots' di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah iaitu Selangor (268 buah), Kuala Lumpur (145), Johor (74) dan Pulau Pinang 73 buah.

Mengenai Mydistress, yang menggunakan aplikasi penghantaran isyarat kecemasan dengan menekan satu ikon pada telefon pintar, Hishammuddin berkata, fasa ketiga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Pada masa ini, keberkesanan inisiatif tersebut amat menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 150,000 pengguna di Selangor yang mendaftar. Saya kini menunggu laporan penuh Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah untuk menjalankan fasa ketiga," katanya.

Mydistress dilengkapi Sistem Pengesanan Global bagi membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment