*MUHYIDDIN Yassin diiringi Dr. Rais Yatim (kanan) menyampaikan anugerah kepada penyanyi Francesca Peter semasa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - utusan/Ghazali Basri |
KUALA LUMPUR, ISNIN, 31 Disember, 2012: Kerajaan akan terus mempertahan dan memperkukuhkan kebebasan rakyat untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing secara harmoni kerana perkara itu merupakan asas utama perpaduan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hak tersebut memang sedia terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi kunci kepada keharmonian hubungan antara agama di Malaysia sejak sekian lama.
Menurut beliau, kesungguhan kerajaan terbukti apabila sentiasa mengadakan majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia bagi semua perayaan utama sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh jalinan kemesraan antara rakyat.
"Saya percaya kebebasan rakyat untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti yang dijamin oleh Perlembagaan harus dipertahan dan diperkukuhkan lagi.
"Atas semangat itu marilah kita berusaha mencari titik persamaan dalam kepelbagaian anutan agama, budaya serta kepercayaan," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Archbishop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Nicholas Xaviar Pakiam dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Sempena majlis tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggiat-penggiat seni budaya serta ketua masyarakat Orang Asli dan etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sambutan perayaan utama di negara ini perlu dijadikan wadah dalam memupuk persefahaman lebih jitu antara rakyat pelbagai bangsa agar keharmonian yang dinikmati dapat disuburkan.
Jelas beliau, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perbezaan kepercayaan dan agama adalah sesuatu yang lumrah tetapi bukan penghalang kepada usaha mewujudkan kehidupan lebih aman, makmur serta harmoni.
Muhyiddin menambah, agama Islam sendiri misalnya mengiktiraf hakikat kepelbagaian bangsa apabila menganjurkan umatnya supaya saling mengenali serta hormat-menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Kita amat bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa berasa takut atau bimbang, dengan rusuhan mahu pun peperangan yang boleh menggugat kestabilan serta mendatangkan kemusnahan.
"Sememangnya rakyat Malaysia amat dikenali dengan sifat kemesraannya dan ini terserlah pada setiap kali sambutan perayaan, inilah tradisi unik yang kita miliki tanpa mengira bangsa atau agama dan inilah asas perpaduan kita," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment