My Add

Sunday 27 January 2013

Lebih sejuta penganut agama Hindu banjiri Batu Caves

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Januari, 2013: Lebih sejuta penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini bagi membayar niat dan menebus dosa sempena sambutan Thaipusam hari ini.

Sambutan yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan Malaysia itu turut menggamit pelancong asing yang tidak mahu melepas peluang melihat keunikan perayaan yang mungkin tidak pernah dirai di negara mereka.

Tinjauan mendapati kawasan Batu Caves dibanjiri penganut agama Hindu sejak tiga hari lalu dan bilangan pengunjung bertambah hari ini apabila ritual membayar niat bermula dengan mendaki 272 anak tangga menuju ke kuil di dalam gua itu.

Seperti sambutan sebelum ini, penganut membayar niat dengan pelbagai cara termasuk mencukur kepala, membawa 'pal kudam' (belanga susu) dan 'kavadi' yang dihias cantik.

Seorang penganut wanita, D Rathalakshmi Devalajar yang mencukur rambutnya, berkata beliau bernazar untuk berbuat demikian jika suaminya yang terlibat dalam kemalangan kembali sihat.

"Pada tahun ini, selepas pembedahan lutut, suami saya kembali sihat," katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan.

Pelancong dari Abu Dhabi, Rhonda Walker pula teruja melihat perarakan membawa 'kavadi' yang diirngi pukulan gedang dan alat muzik lain.

"Ini kali pertama saya menyaksikan sambutan ini yang sangat unik dan mengagumkan. Saya tiba di sini semalam, semata-mata untuk menyaksikan sambutan ini," kata Walker yang juga seorang jurugambar.

Dani Rohdes dari Afrika Selatan pula menganggap sambutan Thaipusam sebagai sangat unik dan berwarna-warni.

Turut dikenali sebagai Thaipooyam dalam bahasa Malayalam dan disambut pada bulan 'Thai' atau bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thaipusam juga bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan dan kejayaannya menghapus kuasa jahat bernama Soorapadman.

Seperti tahun sebelumnya, suasana di sekitar kuil itu juga meriah dengan kebanjiran gerai yang menjual pelbagai jenis barangan selain beberapa gerai pameran agensi kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment