Malaysia boleh jadi orang tengah konflik selatan Thailand
KUALA LUMPUR, SABTU, 19 Januari, 2013: Malaysia boleh berperanan sebagai orang tengah antara kerajaan Thailand dengan gerakan pembebasan Pattani bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di selatan Thailand serta membantu merintis penubuhan wilayah autonomi.
Timbalan Rektor Universiti Islam Yala, Thailand, Dr. Ahmad Omar Chapakia berkata, kerajaan Thailand memilih dialog sebagai jalan penyelesaian kepada konflik di selatan Thailand dan Malaysia dilihat boleh menjadi perantara dalam usaha tersebut.
Sebelum ini, tidak pernah berlangsung sebarang dialog antara kedua-dua pihak menyebabkan persengketaan terus berlaku. Keadaan itu merugikan Thailand dan rantau ASEAN sekiranya isu di wilayah tersebut terus berpanjangan.
Sehubungan itu, saya berharap dialog ini akan dapat diadakan tahun ini dengan Malaysia memainkan peranannya sebagai orang tengah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Islam di Indochina: Perjuangan Masyarakat Islam di Selatan Thailand dalam Seminar Nusantara, Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Antara pertubuhan yang memperjuangkan gerakan pembebasan Pattani adalah Barisan Revolusi Nasional, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani.
Menurut Ahmad, masyarakat Islam di selatan Thailand mengalu-alukan kerjasama Malaysia dalam bidang ekonomi dan pendidikan bagi membantu menyediakan masyarakat itu dalam tuntutan wilayah autonomi.
Dalam masa sama, beliau berharap Felda yang mempunyai pengalaman luas dalam perladangan kelapa sawit dapat membantu membangunkan ekonomi di kawasan selatan Thailand.
Saya juga pernah mencadangkan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya dapat diwujudkan lebuh raya menghubungkan kawasan utara Semenanjung Malaysia sehingga ke Pattani dan beliau beranggapan itu merupakan cadangan baik," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment