My Add

Monday 7 January 2013

Malaysia hab ASEAN menarik bagi syarikat farmaseutikal India

NEW DELHI, ISNIN, 07 Januari, 2013: Malaysia muncul dengan pantas sebagai satu hab pengeluaran utama bagi syarikat farmaseutikal India, terutama sekali bagi eksport ke negara-negara Asia Tenggara.

Malaysia dilihat sebagai negara berdaya saing di segi kos, kata akhbar harian perniagaan Business Standard.

Antara nama syarikat besar yang sudah melabur di Malaysia ialah Ranbaxy, Cipla, Dr Reddy’s Labs, Biocon dan Strides Arcolab dan mereka akan diikuti tidak lama lagi oleh syarikat lain.

Ia menarik syarikat India kerana menawarkan pengecualian cukai 10 tahun, pengecualian duti, insentif khusus bagi pelaburan besar, akses ke pasaran Asean melalui perjanjian perdagangan bebas dan tiada halangan ekuiti.

Insentif sedemikian dan infrastruktur yang boleh dipercayai, menggalakkan pengeluaran ubat-ubatan India untuk mengambil langkah itu, apabila pasaran baharu muncul menjanjikan pulangan yang lumayan, kata akhbar itu.

Ranbaxy — salah satu pelabur awal India di Malaysia yang mempunyai satu kemudahan kilang melalui anak syarikat, Ranbaxy Malaysia Sdn Bhd — kini sedang berusaha membina kilang kedua.

Baru-baru ini, syarikat itu meluluskan penubuhan kilang kedua di Malaysia dengan pelaburan AS$40 juta. 

“Kami percaya bahawa Malaysia menjanjikan pulangan yang lumayan dan kini sedang mengkaji potensi pelan untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran kedua di negara itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Ranbaxy, Arun Sawhney.

“Kemudahan baharu itu akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran kami dan sebagai tambahan serta untuk menampung permintaan di pasaran tempatan, serta untuk dibangunkan sebagai hab bagi Asean," katanya, sambil menyatakan kerajaan Malaysia menyediakan perubatan percuma di kesemua hospital dan polikliniknya bagi ubat baru dan generik.

Sebaik tempoh paten tamat, wujud kecenderungan untuk menukarkan ubat baharu kepada ubat generik.

"Kerajaan Malaysia akan menyediakan iklim yang baik kepada industri farmaseutikal generik," katanya.

Biocon dan Strides Arcolabs mengumumkan pelaburan di Malaysia sejak enam bulan lalu.

Biocon akan membina kemudahan seberang lautnya yang pertama di Malaysia manakala Strides telah menandatangani perjanjian dengan Bio-XCell Malaysia pada 2011 untuk membina kemudahan pengeluaran biofarmaseutikal dan bahan suntikan steril.

Biocon mendakwa bahawa cadangan kemudahannya di Malaysia akan menjadi unit pengeluaran insulin bersepadu terbesar di Asia.

Lupin menyasarkan Malaysia pasaran yang diutamakan bagi masa depan.

"Lupin adalah pembekal ubat antibatuk kering terbesar di negara ini dan kami akan turut meningkatkan kehadiran di dalam segmen terapi yang lain," kata Ketua Pegawai Kewangan, Ramesh Swaminathan.

Kerajaan Malaysia sedang mengkaji penyediaan manfaat di dalam bentuk pendaftaran pantas produk dan peluang akses pasaran di bawah payung projek permulaan khusus yang menarik syarikat farmasi India. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment