My Add

Thursday 24 January 2013

Manifesto BN Selangor merangkumi aspirasi, suara rakyat

KUALA LUMPUR, RABU, 23 Januari, 2013: Intipati manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), khususnya di Selangor akan merangkumi segala aspirasi dan juga suara rakyat di negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Syukur Idrus berkata, beliau yakin manifesto itu bukan satu janji kosong sebaliknya perancangan yang mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat Selangor.

Beliau berkata, jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat bagi merangka dan membentuk satu manifesto yang lebih inklusif yang mencerminkan kehendak dan kemahuan rakyat Selangor.

Sementara itu, Abdul Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, semua wakil rakyat di peringkat BN Selangor sentiasa berada di kawasan masing-masing untuk melakukan yang terbaik demi rakyat di negeri itu.

BN Selangor juga melancarkan Pusat Khidmat Rakyat BN Selangor (Pakar) sejak Mei tahun lalu, sebagai saluran penyebar maklumat yang pantas, selain memberi kemudahan kepada rakyat untuk melaporkan segala masalah dan aduan, katanya ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24.

Beliau berkata, jentera UMNO dan parti komponen BN bersedia berdepan dengan segala cabaran pada PRU-13 dan berharap rakyat Selangor mampu menilai usaha yang dilakukan BN, demi kepentingan generasi akan datang.

Beliau turut melahirkan keyakinan apabila mejoriti masyarakat yang ditemuinya mahukan kerajaan yang lebih kuat dan mereka juga berharap BN kembali memerintah Selangor semula. 

Pada masa sama, Abdul Syukur berkata, kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilihat dengan jelas mengenai usaha yang dilakukan beliau bagi menjaga kebajikan rakyat Selangor melalui pelbagai perubahan dan pendekatan baru.

"Saya yakin kepimpinan Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor benar-benar serius untuk membela kebajikan rakyat di Selangor melalui pelbagai dasar yang diperkenalkan beliau termasuk bantuan terus kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment