My Add

Sunday 27 January 2013

Masyarakat India diminta terus sokong BN

JOHOR BAHARU, AHAD, 27 Januari, 2013: Masyarakat India negeri Johor perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjamin masa depan mereka.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata sokongan itu penting bagi membolehkan Perdana Menteri meneruskan agenda pembangunan yang meliputi semua lapisan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Saya mengajak masyarakat India negeri Johor untuk memilih kehidupan yang lebih baik dengan menyokong dan memberikan mandat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama lima tahun lagi dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi BN Johor berkata demikian kepada penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam di Kuil Sri Muniswarar, yang turut dihadiri Pengerusi MIC Johor Datuk K.S Balakrishnan dan anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500,000 kepada pihak pengurusan kuil bagi memulakan pembinaan sebuah dewan serbaguna di kuil berusia 65 tahun itu.

Balakrishnan berkata kerajaan negeri tidak pernah gagal di dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat India negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri telah memberi bantuan kewangan kepada kesemua 70 buah sekolah Tamil di Johor, termasuk menyediakan tapak-tapak gantian kepada 25 buah yang terpaksa dipindahkan.

Kesemua 25 buah sekolah yang dipindahkan itu, katanya telah pun siap dibina.

Pengerusi kuil, S. Munusamy pula berkata, peruntukan kewangan kerajaan negeri itu membolehkan pihaknya memulakan kerja-kerja pembinaan dewan serbaguna itu pada minggu hadapan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment