My Add

Sunday 13 January 2013

Media berperanan sampaikan aspirasi rakyat

 *NAJIB Tun Razak menyampaikan hadiah kepada juara Media Hunt dari Bernama TV sambil diperhatikan oleh Muhyiddin Yassin pada Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR, SABT, 12 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, media memainkan peranan penting sebagai platform untuk menyampaikan aspirasi dan kritikan rakyat kepada kerajaan.

Media juga, kata Perdana Menteri, diharap dapat terus menjadi medium mengetengahkan isi hati rakyat kepada kerajaan dan UMNO.

''Kita tidak tolak pihak yang kritik kita asalkan ia bertujuan untuk mencari kebaikan dan berdasarkan fakta yang benar," katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Yang hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta barisan kepemimpinan tertinggi UMNO lain.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Penolong Ketua Pengarang 1, Datuk Zaini Hassan.

Najib berkata, media banyak membantu kejayaan UMNO memimpin negara serta melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan rakyat.

''Komunikasi yakni perhubungan paparan berita terutama mengenai perjuangan dan dasar UMNO serta persepsi terhadap apa kita lakukan akan membentuk sikap rakyat kepada kita," katanya.

Sementara itu, Zaini ketika berucap mewakili pihak media berkata, sudah tiba masanya semua pihak harus ditegur dan mengamalkan budaya berpesan-pesan.

''Pembaca bertanggungjawab menegur wartawan dan wartawan boleh menegur pemimpin. Teguran bukan tohmahan. Malaysia memerlukan ruang pendapat yang sihat dan surat khabar perlu menyediakan ruang komentar yang bernas, tidak perlu hentam-menghentam," katanya.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia memenangi tempat kedua bagi kategori Laporan Berita Terbaik Bahasa Malaysia dengan berita bertajuk Wanita Letak Tiga Permohonan.

Ketua Biro Utusan Malaysia di Putrajaya, Noraini Abdul Razak pula memenangi Anugerah Rencana Terbaik Bahasa Malaysia dengan rencana bertajuk Patuhi Resipi Keramat UMNO Bersungguh-sungguh.

Anugerah Foto Terbaik turut dimenangi oleh Utusan Malaysia menerusi Amin Farij Hassan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment