My Add

Friday 18 January 2013

 Orang Melayu belum selamat, kata Mahathir

 DR MAHATHIR berucap pada program Bicara Minda di 
KompleksKumpulan Media Karangkraf, petang tadi.
 *ANTARA Ahadirin

SHAH ALAM, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Orang Melayu masih selamat bukan hanya kerana perlu berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) yang biasa, sebaliknya satu pemilihan yang bakal menentukan percaturan survival di masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

Beliau berkata, terdapat dua senario masyarakat Melayu hari ini iaitu mereka yang sedar dan tidak sedar tentang nasib bangsa Melayu.

“Bagi yang sedar mereka akan kekalkan kedudukan ini, bagi yang tidak sedar mereka akan kata keadaan sekarang adalah biasa dan kita tidak perlu identiti diri kita sebagai Melayu lagi dan kita juga akan berjaya.

“Saya berpendapat walaupun sudah ada orang Melayu yang berjaya, tetapi umumnya masih ramai tidak berjaya dan tidak mungkin berjaya jika tidak beri tongkat (bantuan),” katanya pada Bicara Minda Dr Mahathir: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU13?’ anjuran Sinar Harian di Kompleks Media Karangkraf, di sini hari ini.

Antara yang hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Menteri Pembangunan WSanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Datuk Abdul Rahim Hassan dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.

Pada program itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku Berani Tanpa Segan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad, kompilasi artikel yang disiarkan setiap hari Ahad di Sinar Harian.

Menurut Dr Mahathir, berdasarkan kejayaan orang Melayu hari ini, beliau berpendapat sekiranya bantuan awal tidak diberi belum pasti kejayaan tersebut dapat diraih.

Katanya, terdapat generasi muda yang beranggapan apa salahnya jika kemelayuan itu dilupakan dan diganti dengan konsep Malaysia.

"Apabila datang pendapat seperti itu dan tiada penjelasan diberi maka, wujud idea yang kata kita tidak perlu utamakan bangsa Melayu kita itu.

"Jadi, kita akan ketepikan keperluan kita, dan fikir kehidupan kita terus maju kerana kita orang Malaysia yang hidup dalam negara cukup maju,” katanya.
Katanya, zaman sekarang, masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah selamat.

"Hakikatnya, Melayu masih belum selamat. Kalau boleh, sedarkan mereka, jangan terlalu mengutamakan kepentingan diri dan fahaman kolot.

"Pas hanya memperalatkan masyarakat Melayu dengan agama Islam untuk kepentingan parti untuk menang dalam pilihan raya," katanya.

Dalam pertemuan yang sama, Dr Mahathir turut menjelaskan masyarakat Melayu di negara ini masih tidak bersatu, berbeza dengan zaman pemerintahan British.

"Dulu masyarakat Melayu setia kepada raja dan negeri dan mereka tidak anggap sebagai bangsa Melayu. Tapi, apabila tertekan, mereka mula bersatu.

"Cuma, masalahnya, ketika itu mereka miskin, tiada senjata dan tidak ada pemimpin. Penyatuan itu berjaya mengalahkan British," katanya.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku.

PRU13: Orang Melayu ada 2 pilihan, 

Di sebalik demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dirasai, Dr Mahathir juga mengingatkan orang Melayu bahawa mereka bukan sekadar bakal berhadapan dengan pilihan raya umum biasa, sebaliknya bakal menentukan percaturan survival masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

PRU13 dilabel sebagai ibu kepada segala pilihan raya umum negara ini. Malah katanya, “orang Melayu boleh membuat pilihan yang akan memberi kebaikan hanya pada masa ini tetapi masa depan yang akan terkubur.

“Jadi, apa yang kita nak ramal untuk masa depan kita?

“Saya berpendapat, orang Melayu cuma mempunyai dua pilihan.

"Bagi yang sedar, mereka akan mempertahankan kedudukan mereka dan bagi yang tidak sedar, mereka akan berkata keadaan adalah biasa... kami orang Malaysia dan kita tidak perlu kaitkan diri kita dengan Melayu lagi, kita juga akan berjaya,” kata negarawan ini yang dilihat akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah aliran sokongan pada PRU13.

Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan telah memimpin Barisan Nasional pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku.

Katanya, tidak ramai yang membuat kajian sendiri mengenai perkara seperti ini dan rata-rata apabila orang Melayu berasa marah, mereka sekadar melepaskan rasa marah.

“Kita tidak bertindak untuk mengatasi masalah, sebaliknya kita hanya marah.

"Mengapa kita kata begitu... tak baik, itu sahaja, sebaliknya kita perlu bertindak bukan untuk mengganas seperti di negara-negara yang lain dengan mengikat bom pada badan dan letupkan diri kita.

“Hanya yang dikehendaki, kita harus berfikir secara mendalam tentang masa depan kita dan bagaimana menyelamatkan dan memajukan masa depan kita,” jelas beliau.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno menambah, sebagai sebuah negara demokrasi, keputusan banyak bergantung kepada pemilihan orang Melayu termasuk pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.

Ujarnya lagi, jika orang Melayu bertindak berasaskan emosi dan terutamanya kebencian, beliau yakin masa depan orang Melayu tidak akan terjamin.

“Sebaliknya, jika berfikir secara mendalam, berasaskan kepada pengalaman kita berasaskan keadaan, sejarah dan keadaan yang kita lihat sekarang, saya yakinkita akan membuat pilihan bijak.

"Pilihan yang bijak akan menentukan masa depan kita akan terselamat," katanya.

Dr Mahathir, seorang doktor perubatan sebelum menceburi politik dan pernah menghasilkan buku Dilema Melayu yang popular berkata:

"Kita juga harus ingat orang Melayu ini juga yang beragama Islam."

"Kalau orang Melayu gagal, disingkir dan diketepikan dan menjadi kaum yang termiskin dalam negara kita ini, percayalah agama Islam juga akan menghadapi masalah," kata beliau.

BN gagal dua pertiga makna 'kemenangan kosong'

Barisan Nasional (BN) dikira tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekiranya mereka masih gagal memperoleh kemenangan dua pertiga sepertimana disaksikan pada tahun 2008.

Dr Mahathir berkata, walaupun BN masih menang, namun kemenangan tersebut disifatkan "kosong" kerana sebuah kerajaan yang berwibawa memerlukan kemenangan majoriti besar dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya, dalam sistem demokrasi, kerajaan yang lemah amat mudah diserang dan kekuatan mereka akan terus merosot jika tidak berani bertindak.

“Untuk menghadapi PRU13, pemimpin-pemimpin kena berani menonjolkan diri, jangan takut, jika terus takut maka kerajaan akan terus diserang dari pelbagai penjuru.

“Jadi sekiranya kerajaan sekarang gagal mendapat dua pertiga, maka kerajaan yang ada sekarang adalah lemah,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut menegur kerajaan sekarang yang dilihat terlalu berlembut dengan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak pembangkang sehinggakan keputusan tersebut amat merugikan.

Sambil memberi contoh pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Dr Mahathir menegaskan pelbagai negara seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) meniru Malaysia, walaupun pernah menuduh akta ini menindas hak asasi manusia.

“Di Malaysia, tangkapan ISA masih tertakluk di bawah undang-undang, tetapi AS terus menangkap tanpa apa-apa undang-undang dan menempatkan mereka di Teluk Guantanamo sehingga 10 tahun lebih,” katanya.

Saya beri kerakyatan ikut undang-undang

 Dr Mahathir mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa pentadbirannya.

Namun katanya, pemberian kerakyatan itu dilakukan mengikut undang-undang.

Menurutnya, apabila menjadi perdana menteri, beliau berkuasa dalam menentukan pelaksanaan dasar- dasar kerajaan.

“Malaysia menerima rakyat asing menjadi warganegara jika mereka memenuhi syarat- syarat tertentu dan ramai (rakyat asing) yang berada di Sabah melebihi 20 tahun dan bercakap dalam Bahasa Melayu.

“Mereka( rakyat asing) berhak menjadi rakyat dan yang menjadi masalah ialah ada orang tidak senang jika ada orang lain menjadi rakyat Malaysia walaupun mereka (rakyat asing) memang tinggal di Malaysia. Itu yang menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat asing berhak mendapat kerakyatan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

“Saya bagi di zaman saya (menjadi perdana menteri) kerana mereka berulang alik dari selatan Filipina ke Sabah tidak menerima sempadan Sabah yang digariskan penjajah.

“Di Sumatera dan Semenanjung, kita menerima rakyat asing ini sebagai rakyat di sini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melakukan perkara lebih teruk dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

"Dia (Tunku Abdul Rahman) beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?

“Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang,” katanya.

Isu kalimah ALLAH bantah dengan hujah

Dr Mahathir menggesa supaya dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, bantahan tersebut perlu dibuat menerusi hujah yang mempunyai fakta tepat dan bukannya bantahan kosong.

Beliau berkata, ramai yang tidak bersetuju dengan perkataan ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, tetapi ramai tidak tahu asal usul penggunaan perkataan ALLAH dalam Bible.

“Kita malas membaca buku dan membekal diri dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu tiada pengetahuan. Kita hanya ada emosi dan kita marah. Itu tidak kena, seharusnya alasan perlu diberikan dan selepas itu barulah dipertikai.

“Jika ada yang kata perkataan ALLAH itu boleh digunakan dalam sebarang agama, itu adalah tidak tepat. Yang tepat perkataan ALLAH itu bermula dengan agama Islam,” katanya.

Katanya lagi, penggunaan kalimah ini perlu dibantah kerana dalam konteks negara Malaysia, dikhuatiri unsur penipuan akan berlaku.

"Sekiranya ada pihak lain mahu menggunakan kalimah tersebut, apa tujuannya selain jika bukan untuk menipu pemikiran supaya orang lain menganggap perkataan ALLAH sama dengan agama lain.

“Unsur penipuan itu memang ada, sebab itu kita tidak boleh terima penggunaan perkataan ALLAH, tetapi apa yang kita tahu, kita tidak bersetuju sahaja. Kita perlu jelaskan mengapa (perkataan ALLAH) bukan mereka punya dan kita (orang Islam) punya,” katanya.

Menjelaskan asal usulnya, Tun Mahathir berkata, pada awalnya Bible bukan ditulis dalam bahasa Inggeris, sebaliknya bahasa Greek dan Latin.

Katanya, selepas kedatangan Islam, hanya orang Islam menggunakan ALLAH, namun apabila penganut agama lain, ingin memperkembangkan agama mereka dalam kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, maka perkataan God diterjemah kepada ALLAH supaya mudah difahami.

"Di Mesir, Bible milik mereka menggunakan bahasa Arab, tetapi tidak menyebut nama tuhan mereka sebagai ALLAH. Begitu juga orang Kristian, menganggap Jesus sebagai tuhan, manakala orang Yahudi pula menggunakan Yahweh.

"Untuk mengembangkan agama mereka, tuhan ditukar sebagai ALLAH. Selepas itu diterjemah Bible untuk bangsa-bangsa lain. Oleh sebab itu di Indonesia, memang perkataan ALLAH digunakan dan juga di Malaysia, ketika zaman sebelum merdeka di Sabah dan Sarawak, mereka menggunakan Bible yang sama menggunakan perkataan ALLAH ,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment