My Add

Monday 21 January 2013

Muhyiddin harap YaPEIM teruskan usaha majukan ekonomi ummah

SHAH ALAM, AHAD, 20 Januari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan meneruskan usaha memajukan ekonomi ummah menerusi inovasi dalam sistem kewangan Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peranan yang dimainkan institusi seperti YaPEIM membuktikan sektor sosial mempunyai tanggungjawab yang sama penting dengan sektor-sektor lain dalam membangunkan ekonomi umat Islam.

"Saya mengucapkan syabas kepada YaPEIM sebab berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi umat Islam menerusi sinergi antara pelbagai sektor," katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan Tokoh Sahabat Ar Rahnu YaPEIM 2012 sempena Kejohanan Golf Amal Perdana YaPEIM di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, inisiatif YaPEIM memberi ruang penyertaan seluasnya kepada pelbagai sektor dalam menjayakan program-program pembangunan umat adalah selaras dengan prinsip keterangkuman yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Model Baru Ekonomi.

Beliau berkata, program pembasmian kemiskinan menerusi Projek Printis Skim Pembiayaan Ikhtiar, yang kemudiannya diinstitusikan sebagai Amanah Ikhtiar Malaysia, adalah antara sumbangan besar YaPEIM kepada usaha membangunkan ekonomi ummah.

Katanya, YaPEIM juga merupakan peneraju utama Program Mikro Kredit Ar Rahnu yang dilaksanakan secara bersama dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia di bawah penyelarasan Bank Negara.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 1993, program ini telah memberi manfaat kepada lebih satu juta penerima yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum di negara kita," katanya yang mahu YaPEIM menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha-usaha membasmi kemiskinan dan membela golongan masyarakat yang memerlukan.

Katanya, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan Perusahaan Sepang Maju Sdn Bhd, Zamri Jamaluddin menerima Anugerah Pertama Tokoh Sahabat Ar Rahnu YaPEIM dengan menerima sijil serta RM10,000 daripada Muhyiddin.

Pengeluar perencah pelbagai perisa di Pulau Pinang, Maziah Mahat dan pembekal pakaian dan barangan plastik dari Kelantan, Wan Suhaibah Che Mustaffa masing-masing memenangi anugerah kedua dengan memenangi RM7,000 setiap seorang.

Tiga lagi peniaga Aishah Hussein, Hazila Muhammad dan Zamzarina@Saudah Hashim memenangi anugerah ketiga dengan masing-masing membawa pulang RM5,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment