My Add

Thursday 3 January 2013

Muhyiddin terima kunjungan hormat Duta Besar AS ke Malaysia

*MUHYIDDIN menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W Jones di pejabatnya di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 Januari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W Jones di pejabatnya di sini, hari ini.

Ketika pertemuan sejam itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Jones membincangkan pelbagai usaha mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelajaran terutama program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris Fulbright (ETA) bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Tahun lalu, peserta 50 ETA dari Amerika Syarikat ditempatkan di sekolah menengah terpilih di Terengganu, Johor dan Pahang dan membantu guru di Malaysia.

Tahun ini, program ETA akan diperluaskan ke Perak dan sejumlah 75 peserta ETA itu akan memulakan tugasan selama 10 bulan bagi memperkaya dan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah terpilih di empat negeri bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang menguasai Bahasa Inggeris.

Program itu adalah berdasarkan perkongsian komitmen di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden AS, Barack Obama bagi memperluas program pertukaran rakyat dengan rakyat.

Program itu ditadbir bersama Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment