My Add

Tuesday 8 January 2013

Pas akan fail semakan kehakiman projek Rapid 

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013: Pas akan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menangguhkan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) Pengerang berikutan dakwaan pihak terbabit telah melanggar syarat yang dipersetujui.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub (gambar)  berkata, tuntutan tersebut akan dibuat menerusi firma guaman Hanifah & Co pada Rabu ini.

“Pas dan Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) akan menfailkan satu semakan kehakiman untuk memohon penangguhan projek Rapid Rabu ini.

“Selepas kami meneliti, Putrajaya telah melanggar dua perjanjian iaitu memungkiri janji apabila memindahkan kampung tradisi dan mengalihkan tanah perkuburan di Pengerang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, semalam.

Selain itu, Salahuddin mendakwa kematian tiga sekeluarga baru-baru ini salah satu puncanya akibat tekanan perasaan berikutan tanah mereka diambil di Pengerang.

Beliau yang juga Pengerusi Mantap mendakwa kontraktor yang terlibat telah memindahkan kubur dengan tidak bertanggungjawab.

“Kematian tiga sekeluarga ini telah menimbulkan satu lagi isu, iaitu pemerasan pengambilalihan tanah hingga memberikan tekanan kepada penduduk Pengerang.

“Satu lagi isu ialah kontraktor yang dilantik oleh Perbadanan Islam Negeri Johor untuk memindahkan kubur tidak mematuhi syarat seperti yang disyaratkan oleh Majlis Agama Islam,” katanya.

Beliau menyifatkan kontraktor yang diupah oleh perbadanan tersebut hanya mementingkan keuntungan dan memindahkan kubur tidak mengikut prosedur yang sudah ditetapkan, malahan pihak berwajib yang sepatutnya berada semasa pemindahan juga tidak kelihatan.

Sebanyak 249 kubur dipindahkan ke kawasan baru sejak 22 Disember tahun lalu iaitu di Kampung Punggai dengan setiap satu kubur dibayar dengan wang berjumlah RM8,000 setiap satu.

“Kontraktor ini hanya mengejar untung dalam memindahkan kubur-kubur ini, siapa yang pindah cepat akan dapatlah banyak wang,” katanya.

Sementara itu, Pas turut mempersoalkan sikap Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang masih membisu berhubung isu Rapid tersebut.

“Sudah beberapa kali surat dihantar malah kunjungan ke pejabat menteri besar juga telah dibuat, namun Abdul Ghani tidak mahu bersemuka dengan wakil penduduk dan NGO yang memperjuangkan isu itu,” katanya.

Projek Rapid bernilai kira-kira RM60 bilion membabitkan pembinaan 20 kilang penapisan adalah sebahagian program pembangunan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang terbesar dan termoden di rantau ini.

Malah, projek yang membabitkan 4,000 penduduk itu, sudah mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Laporan EIA terperinci disediakan jururunding berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar bagi cadangan projek itu, diluluskan pada 27 Ogos 2012 selepas ia memenuhi kehendak Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment