My Add

Wednesday 9 January 2013

Pas tidak berupaya pertahankan diri

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013: Keputusan mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah menyerlahkan ketidakupayaan Pas mempertahankan diri ketika berhadapan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam persoalan akidah.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas terpaksa memilih DAP dan PKR, bukannya ulama-ulama besar dalam parti seperti Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang telah menyuarakan pandangan mereka apabila isu kalimah Allah timbul dua tahun lalu.

Menurut beliau, sikap Pas yang sanggup menggadaikan maruah perjuangannya pasti amat disanjungi DAP dan PKR.

''Jelas kepada kita golongan ulama di dalam Pas semakin terpinggir, suara mereka tidak lagi didengari dan tidak hairanlah kalau golongan ini terus dipencilkan.

''Bagi saya inilah kerja golongan parasit dalam Pas. Mereka begitu berjaya mengubah hala tuju parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kenyataan Pas itu sebagai pendirian bersama pakatan pembangkang.

Tambah Hasan, golongan parasit telah mempengaruhi Pas membuat keputusan yang berkaitan dengan dasar parti tanpa merujuk kepada Majlis Syura Ulama.

Beliau memberitahu, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mengesahkan parti itu bersetuju kalimah Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam menjadi petanda yang memudahkan lagi proses membuat keputusan dalam kalangan parti-parti komponen pakatan pembangkang.

''Lebih mendukacitakan, keputusan yang dibuat secara terang-terangan menyanggah dan tidak menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyelar pihak-pihak yang cuba mengganggu-gugat kesucian Islam dengan membangkitkan isu kalimah Allah," ujarnya.

Hasan turut berharap kira-kira sejuta ahli Pas dan kesemua penyokongnya itu merenung apakah mereka akan terus menganggotai atau menyokong sebuah parti yang kini hilang wibawa dan kredibiliti akibat terlalu ghairah ingin ke Putrajaya dan ingin melihat Anwar menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment