My Add

Friday 25 January 2013

Pengawal kelab malam maut ditembak

BUTTERWORTH, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer' maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata mangsa, Fauzi Hussin, 24, ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi ini.

"Sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan satu kesan tembakan mengenai rusuk kirinya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu polis menahan enam orang termasuk dua wanita warga Vietnam di sekitar daerah Seberang Perai Utara iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati salah seorang daripada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah perancang utama kejadian berkenaan dan polis turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian," katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki berkenaan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.

Katanya, mangsa dan suspek berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika pergaduhan itu berlaku dan pihak polis turut menemui beberapa botol arak di tempat kejadian.
"Kes itu dianggap selesai selepas kita menahan enam suspek dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment