My Add

Friday 25 January 2013

Perhimpunan bakar Bible sengaja digembar-gembur: Hishammuddin

PUTRAJAYA:, JUMAAT, 25 Januari, 2013 Dakwaan kononnya akan berlaku upacara membakar Bible versi bahasa Melayu di Butterworth Ahad ini adalah tidak berasas dan sengaja digembar-gembur pihak tertentu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat mengambil pendekatan rasional dan bertenang.

"Menerusi makluman yang diterima daripada Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) sendiri dan selepas ditanya kepada tuan punya badan, mereka menafikannya (upacara membakar bible)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil mudah dan sentiasa memantau perkara itu.

"Sesiapa yang menyebarkan berita palsu itu akan didedahkan. Saya berjanji
dan beri jaminan perkara yang ada asas, kita akan teliti dan siasat," katanya.

Ahad lalu, Polis Pulau Pinang menerima laporan daripada seorang paderi yang menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar bible Melayu demi masa depan
cucu kita' yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja di negeri itu.

Terdahulu, Hishammuddin hadir pada majlis penyerahan MyKad kepada B Dinesh
Kumar, 26, dan B Reshina, 18, yang tercicir daripada mendapat MyKad berikutan
masalah ketiadaan dokumen walaupun kedua ibu bapanya A Maria, 52, dan R
Batumanathan, 54, adalah warganegara.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan tiada sesiapa pun boleh
terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk petugas Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) yang disyaki terbabit dalam sindiket menjual bayi.

"Tiada maaf bagi sesiapa yang terbabit dalam kes ini...ramai lagi yang
terbabit kerana sindiket itu bukan di kesan di negara ini sahaja sebaliknya di
peringkat antarabangsa juga," katanya.

Media melaporkan kejayaan polis menumpaskan satu sindiket penjualan bayi di
Pulau Pinang yang didalangi seorang wanita tempatan sejak tiga tahun lalu yang
dipercayai mengaut keuntungan mencecah RM25,000 untuk seorang bayi.

Wanita berusia 50-an itu dikesan turut bersekongkol dengan seorang doktor
klinik swasta dan seorang petugas JPN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment