PM hadiri WEF di Davos
KUALA LUMPUR. SELASA, 22 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Davos, Switzerland sempena mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dari 23 hingga 26 Januari ini.
Forum tahun ini yang bertemakan 'Resilient Dynamism' merupakan wadah bagi menghebahkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan dan peluang-peluang ekonomi yang sedia ada meskipun terdapat kemelesetan ekonomi yang melanda dunia.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Perdana Menteri dijadualkan mengambil bahagian dalam beberapa sesi WEF, termasuk sesi interaksi membincangkan kesan-kesan kemelesetan ekonomi dan ancamannya.
''Dalam sesi berasingan bertajuk 'Resilience in Diversity', Perdana Menteri bersama rakan sejawat dan pemimpin negara-negara ASEAN yang lain akan memperincikan rancangan ASEAN untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.
''Beliau juga akan mengadakan sesi bersama Fareed Zakaria (CNN) bagi menerangkan usaha dan pencapaian serta cara bagaimana untuk mengekalkan transformasi ekonomi dan politik Malaysia,'' kata kenyataan itu.
Najib juga akan mengadakan satu mesyuarat makan tengahari dengan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat antarabangsa, pengurus-pengurus dana dan bank serta perunding yang terpilih serta menganjurkan Malam Malaysia.
Di samping acara WEF, beliau akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia mengenai isu-isu berkepentingan bersama. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment