My Add

Monday 28 January 2013



PM lancar agihan BR1M 2 Februari


 *AHMAD Husni Hanadzlah bersama kanak-kanak tempatan yang menghadiri program Imarah Perpustakaan 1Malaysia Kampung Tersusun Batu 6, Tambun, Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH, AHAD, 27 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal melancarkan program pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 ke seluruh negara pada 2 Februari ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, setakat ini sebanyak enam juta permohonan bantuan itu melibatkan isi rumah dan golongan bujang telah diproses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, bantuan yang akan memanfaatkan keseluruhan 7.3 juta pemohon itu dijangka terus memberi impak kepada sektor ekonomi negara melalui peningkatan penggunaan dalam kalangan pengguna sekali gus membantu perkembangan perusahaan setempat.

"Pembayaran BR1M 2.0 ke seluruh negara akan bermula Februari ini dan menjadi tanggungjawab Pegawai Daerah serta Pegawai Pembangunan Zon mengaturkan tempatnya.

"Seperti tahun lalu, pembayarannya melibatkan pemberian baucar di setiap majlis dan kita juga ada bank bergerak. Tahun ini, kita tambah Public Bank selain Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank dan CIMB supaya mereka dapat membuat pembayaran di majlis-majlis tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Imarah Perpustakaan 1Malaysia Kampung Tersusun Batu 6, Tambun, di sini hari ini.

Sebanyak 3.2 juta permohonan baharu diterima kerajaan membabitkan program BR1M 2.0 selepas 4.1 juta isi rumah menerima bayaran bantuan tersebut tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pembayaran BR1M 2.0 bulan depan itu melibatkan pemohon yang mendaftar pada atau sebelum 31 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, bagi pendaftaran yang dibuat selepas tarikh itu, pembayarannya akan diberikan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kerana perlu ditapis dan diproses LHDN terlebih dahulu.

"Permohonan BR1M 2.0 masih dibuka ketika ini dan tarikh tutupnya kita akan umumkan kemudian setelah kita yakin mereka yang layak memohon telah berbuat demikian," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, ditanya jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat tahun lalu, Ahmad Husni berkata, perkara itu akan diumumkan Bank Negara Malaysia Februari ini.

Namun katanya, beliau yakin KDNK itu akan mencapai lebih lima peratus berdasarkan prestasi ekonomi negara sepanjang tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment