My Add

Wednesday 16 January 2013

Soi Lek sedia pertimbang undangan PKR Kedah

MELAKA, RABU, 16 Januari, 2013: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sedia mempertimbang menghadiri undangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah bagi merasmikan sambutan Tahun Baru Cina pada 2 Februari depan sekiranya menerima surat rasmi dari kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berkata persetujuan itu bagaimanapun bergantung pada syarat yang dikenakan penganjur majlis termasuk garis panduan persembahan pentas yang menjadi isu hangat di negeri itu beberapa hari lalu.

Katanya sekiranya garis panduan adil bagi masyarakat Cina, beliau bersedia merasmikan majlis berkenaan.

"Saya belum menerima surat jemputan rasmi daripada pihak tersebut. Saya nak lihat dulu surat itu sebelum memberi maklum balas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amal Tokong Hong Hu Tong di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam itu turut dihadiri Pengerusi MCA negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo.

Chua mengulas kenyataan sebuah portal pro pembangkang berhubung jemputan Exco Kedah, Lim Soo Nee yang juga ADUN Kulim kepada Chua dan pemimpin MCA lain ke majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR negeri di Kulim pada tarikh berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment