My Add

Tuesday 8 January 2013

Tiada justifikasi adakan perhimpunan: Tokoh akademik

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013: Perhimpunan atau protes jalanan yang sering didalangi pembangkang tidak mempunyai kaitan dengan isu nasional sebaliknya ia semata-mata untuk meraih keuntungan politik dengan menagih perhatian rakyat, menurut tokoh akademik.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata 'kesihatan' pembangkang kini boleh diibaratkan seperti dalam situasi tenat dan terdesak untuk meraih undi rakyat dan sehingga memaksa mereka mengadakan perhimpunan haram.

Dr Mohamed Mustafa, yang juga Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara berkata, isu yang cuba dibangkitkan pembangkang sudah dijawab dan diselesaikan oleh kerajaan, manakala beberapa isu lain masih dalam prosiding mahkamah.

"Bukannya ada isu nasional dan tiada justifikasi untuk membawa isu-isu ke dalam satu perhimpunan haram semata-mata untuk menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara," katanya hari ini.

Apabila bertembung dengan pihak berkuasa, nanti mereka dakwa hak kebebasan disekat dan kelak mereka salahkan kerajaan pula dan mahu rakyat membenci kerajaan dan memilih mereka, jelasnya.

Dekan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Martadar Mohamed, berkata kebebasan bersuara yang diberikan kepada setiap lapisan rakyat tidak harus disalah guna sehingga mendatangkan 'bencana' kepada negara.

"Kebebasan bersuara bukan hak untuk melakukan apa yang kita rasa betul, sebaliknya ia perlu dilakukan dalam kerangka pemikiran rasional serta tidak mengganggu atau menyusahkan orang lain," katanya. 

Beliau berkata, setiap tindakan perlu mengambil kira ketenteraman, keharmonian dan pembangunan negara kerana keadaan itulah yang menjadikan Malaysia sebuah negara contoh sama ada di rantau ini atau peringkat dunia.

Dr Martadar memberi contoh di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat misalnya, tunjuk perasaan hanya diadakan apabila timbul isu yang dianggap besar, sebaliknya isu kecil diatasi dengan rasional termasuk menerusi Parlimen atau diluahkan menerusi media massa.

"Impak media lebih besar terutama dengan adanya media baharu sekarang, jadi mungkin ahli-ahli politik perlu melakukan anjakan paradigma," katanya.

Bagi pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai pula kecenderungan pembangkang menganjurkan perhimpunan haram boleh menjejaskan iklim ekonomi negara kerana ia memberi gambaran bahawa keadaan di Malaysia tidak selamat untuk pelabur asing.

Selain itu, Dr Barjoyai, Pengarah Bersekutu Akademik dan Program Global Pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, berkata kunjungan pelancongan ke negara ini juga akan terjejas kerana mereka akan beranggapan situasi 'Arab Spring' kini menular di Malaysia.

"Kalau nak sangat lakukan perhimpunan, lakukan di tempat yang jauh dari pusat membeli-belah...tapi kalau tengah bandar raya pastinya sedikit sebanyak menjejaskan reputasi Malaysia yang selama ini dilihat menarik, selamat dan bebas daripada revolusi seperti 'Arab Spring'," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang berkata pembangkang seharusnya menjadikan konflik politik di beberapa negara di Timur Tengah sebagai iktibar dengan tidak menganjurkan sebarang perhimpunan haram.

Beliau berkata, imej Malaysia sebagai destinasi yang sering menjadi pilihan pelancong berbanding negara-negara lain tidak harus dicalarkan hanya kerana kepentingan parti atau diri sendiri.

"Pembangkang harus belajar dari negara lain kerana bukan mudah untuk bina apa yang kita lihat dan kecapi hari ini," katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Jelasnya, pembangkang seharusnya menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati mereka melalui saluran yang sepatutnya termasuk di Parlimen kerana mereka juga mempunyai wakil sama ada di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
"Rakyat pula ada saluran sendiri iaitu pilihan raya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment