*AZMI Ali (tiga dari kanan) bersama 100 orang penduduk kampung mengadakan demonstrasi secara aman berhubung penjualan tanah seluas 400 hektar di kawasan Pasir Pekan Hilir oleh kerajaan negeri kepada bukan bumiputera di Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI |
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TUMPAT, JUMAAT, 22 FebRUARI, 2013: Lebih 100 penduduk dan peneroka tanah di Pasir Pekan Hilir di sini, mengemukakan bantahan terhadap tindakan Kerajaan Pas Kelantan yang memindah milik tanah seluas 400 hektar di tebing Sungai Kelantan kepada bukan bumiputera.
Dalam demonstrasi aman pada pukul 11 pagi itu, penduduk kampung terbabit turut mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya memberikan mereka geran kerana mendakwa telah dijanjikan pemimpin itu sendiri sekitar tahun 1990-an.
Seorang penduduk, Mohamad Ismail, 60, berkata, pendedahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) mengenai urusniaga tanah itu kelmarin menggemparkan penduduk yang mendakwa tertipu dengan klausa tebus guna kepada mereka ketika mula-mula mengambil tanah di situ.
"Dulu, selepas lama kami meneroka tanah ini, kerajaan negeri datang memberitahu tanah ini akan diambil untuk tebus guna di mana ada perancangan untuk membangunkannya.
"Masa itu memanglah kami tiada masalah, lagipun kerajaan janji akan berikan kami geran tetapi sekarang apa yang berlaku ialah tanah ini sebenarnya telah menjadi milik syarikat swasta bukan bumiputera," katanya ketika ditemui semasa bantahan itu.
Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad baru-baru ini tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan Kerajaan Pas Kelantan dikatakan memindah milik sebidang tanah di Lembah Sireh dekat sini kepada syarikat pemaju projek bernilai RM2 bilion.
Menurut Wan Khairul Ihsan, dokumen itu jelas menyatakan tuan punya tanah berkenaan ialah Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco), pemaju projek pembangunan Lembah Sireh yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan mengikut jadual.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Hussan Ishak, 62, yang telah membayar premium sebanyak RM1,000 ketika membuat permohonan untuk memiliki geran tanah untuk kediamannya pada tahun 1984 mendakwa tanah itu kini telah dimiliki orang lain.
"Dulu kerajaan negeri janji semua orang akan dapat hak milik tanah secara sah malah saya juga dijanjikan geran tanah di rumah saya.
"Tetapi tiba-tiba apabila saya ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) baru-baru ini saya dapati rumah yang saya buat sendiri ini kini berada di atas tanah orang," katanya dalam nada marah.
Sementara itu, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali yang turut menyertai bantahan itu berkata, satu-satunya langkah yang boleh diambil untuk mengembalikan tanah itu kepada rakyat adalah dengan menukar kerajaan.
"Tanah ini sudah dipindah milik dan Kerajaan Pas Kelantan sudah menerima bayaran jadi rakyat yang teraniaya tidak boleh melakukan apa-apa lagi.
"Cara terbaik adalah pada pilihan raya umum ini, kita bersama-sama menukar kerajaan kerana penganiayaan yang dibuat Pas tidak boleh dimaafkan sama sekali," tegasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment