My Add

Saturday 23 February 2013

Kerajaan Selangor tidak matang

PULAU PINANG, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor (PKR) dibidas kerana bersikap tidak matang apabila bertindak menggantung projek Kerajaan Pusat di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, keputusan yang diambil kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu juga sebagai tidak logik kerana tidak dilihat dari sudut menyeluruh.

"Ia tidak menggambarkan kepemimpinan yang baik untuk rakyat.

"Sepatutnya mereka gembira Kerajaan Persekutuan tetap menjalankan projek di negeri itu bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini.

Nor Mohamed mengulas tindakan Selangor menggantung semua projek jalan raya Kerajaan Persekutuan di negeri itu sebagai tindak balas keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Majlis Perbandaran Sepang tidak mempunyai kuasa mengeluarkan notis mengarahkan syarikat penyelenggara kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES yang beroperasi di negeri tersebut.

Sambil meluahkan rasa kesal berhubung tindakan tersebut, Nor Mohamed berkata, keadaan itu juga hanya akan melambatkan usaha melengkapkan kemudahan infrastruktur di Selangor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment