My Add

Wednesday 6 February 2013

1ACP buka 30,000 peluang kerja kedua buat pesara tentera - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Februari, 2013: Program kerjaya kedua yang dimulakan Kementerian Pertahanan sejak Jun lepas menyediakan bidang latihan yang mampu memberi peluang kerjaya kedua kepada lebih 30,000 pesara tentera menjelang 2020.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program yang dikenali sebagai 1ACP (1 Active Carrier Planning) itu dibangunkan secara ekslusif kepada bakal veteran tentera dan dijalankan melalui usaha sama Kerjaya Sukses Sdn. Bhd.

"Melalui program ini juga dijangka kira-kira 4,200 hingga 4,800 veteran setiap tahun akan mempunyai kerjaya kedua selepas persaraan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program itu dan laman portal www.Kerjayaveteran.my di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu adalah bagi memastikan golongan itu mempunyai kerjaya kedua seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup dan sosi-ekonomi mereka, manakala laman web itu akan bertindak sebagai portal kerjaya kepada bakal pesara itu.

Ahmad Zahid berkata, melalui program itu, Kerjaya Sukses akan mengenalpasti veteran yang akan bersara dalam tempoh tiga tahun dan mengetahui bidang yang bakal diceburi mereka, seterusnya menyediakan latihan dengan segala infrastruktur bagi memberi pendedahan dan latihan secukupnya kepada mereka.

Melalui program itu juga, bakal veteran yang mempunyai masalah kewangan dalam menjalankan kerjaya kedua, akan diberi bantuan pinjaman kewangan seterusnya membantu mereka menjayakan bidang yang mereka ceburi, katanya.

Beliau berkata, program 1ACP itu mendapat kerjasama 14 syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta bagi membolehkan mereka mendapatkan tenaga kerja daripada veteran tentera yang telah dilatih.

"Saya sebelum ini diberitahu oleh Syarikat Iskandar Malaysia, mereka ingin menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepada bakal veteran tentera, tetapi kami tidak mampu sediakan kerana tiada satu program khusus bagi melatih mereka.

"Jadi dengan wujudnya 1ACP ini maka insyAllah kami bukan sahaja dapat membantu golongan veteran malah membantu syarikat yang memerlukan veteran," katanya.

Ahmad Zahid turut menasihatkan bakal veteran yang menyertai program ini agar lebih berdikari selepas bersara dan keluar daripada keselesaan yang diterima mereka semasa dalam perkhidmatan tentera.

"Ada sebahagian veteran yang sudah selesa dengan kemudahan yang diterima mereka dalam perkhidmatan tentera termasuk memiliki rumah dan kemudahan sekolah untuk anak-anak mereka. Saya harap mereka boleh keluar dari kepompong ini dan terus memajukan diri mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment