My Add

Wednesday 6 February 2013

Warga emas lega selesai masalah selepas jumpa MB Perak

IPOH, SELASA, 05 Februari, 2013: Seorang warga emas yang berada dalam kesempitan hidup dapat menarik nafas lega apabila pertemuan singkatnya dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu hidupnya sejak beberapa bulan lepas.

Mariam Abdullah, 71, adalah antara kira-kira 150 orang yang menghadiri Hari Bertemu Rakyat yang diadakan pada setiap Selasa, di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Dalam pertemuan itu, seluruh dewan dikejutkan dengan raungan dan tangisan Mariam yang tidak dapat mengawal perasaan ketika menceritakan kedaifan rumah yang didiaminya kepada Zambry.

Pertemuan itu telah membuahkan hasil apabila Zambry dengan segera mengarahkan kakitangannya untuk menyelesaikan masalah wanita berkenaan.

Mariam ketika ditemui pemberita berkata dia terpaksa tidur dalam ketakutan apabila sebahagian daripada siling rumahnya runtuh dan tidak dapat dibaiki kerana kesempitan hidup.

"Ini kali ketiga saya datang ke sini dan hari ini baru dapat bertemu sendiri dengan menteri besar (MB). Saya nak jumpa MB untuk serah surat ini sendiri. Tadi MB kata ada orang akan datang rumah saya esok," katanya yang tinggal sebatang kara selepas suaminya meninggal dunia sepuluh tahun lepas.

Mariam yang mempunyai sembilan anak dan hanya menerima wang pencen suaminya sebanyak RM470 sebulan berkata beliau tidak mahu membebankan anak-anaknya yang telah berkeluarga.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau telah mengarahkan Yayasan Bina Upaya (YBU) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah wanita itu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah yang dikemukakan, tidak kira sama ada ianya besar atau kecil.

Katanya, sejak Hari Bertemu Rakyat itu diadakan empat tahun lepas, kira-kira 25,000 orang telah mengutarakan masalah mereka dan daripada jumlah itu 75 peratus telah berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, ada masalah yang dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan sebahagiannya terpaksa mengambil masa agak lama untuk diselesaikan kerana melibatkan pelbagai pihak.

"Ada juga masalah yang tidak dapat diselesaikan, saya mohon maaf kepada mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment