My Add

Thursday 21 February 2013

3,000 peluang kerja menanti di Terengganu

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Februari, 2013: Sebanyak 80 syarikat akan menyertai Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair 2013 yang buat julung kalinya berlangsung di Terengganu pada hari Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi karnival, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, program anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) itu diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena Karnival Janji Ditepati.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan karnival itu pada Sabtu ini yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

''Kami menjangkakan lebih dari 20,000 pencari kerja bakal mengunjungi karnival ini, yang terbesar pernah diadakan'' katanya dalam satu kenyataan di sini.

BN Youth Job Fair telah diadakan di beberapa negeri sepanjang tahun 2011, 2012 dan pada tahun ini, ia bermula di Alor Setar, Kedah.

Nazir Hussin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, sambutan di Terengganu dijangka menggalakkan dengan penyertaan beberapa syarikat gergasi Malaysia.

Beberapa syarikat yang dijangka turut serta ialah UMW Holdings Berhad, Celcom Axiata Berhad, MY.E.G. Services Berhad, Bernas Malaysia, REDtone, Bank Islam dan lain-lain.

Agensi kerajaan yang turut terlibat ialah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan banyak lagi.

Katanya, pelbagai program menarik akan diadakan untuk memastikan BN Youth Job Fair ini mencapai matlamat sama ada di pihak belia yang mencari pekerjaan dan syarikat yang mengambil bahagian.

Selain peluang pekerjaan, golongan belia juga boleh mendapatkan maklumat untuk menyertai program latihan ataupun khidmat nasihat, bimbingan keusahawanan serta kemudahan pinjaman bagi yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri.

''Kami berharap golongan belia di Terengganu dapat menyertai karnival ini yang turut mendapat perhatian syarikat-syarikat korporat yang bersedia menyokong pelaksanaan Skim Gaji Minimum yang dianjurkan oleh kerajaan prihatin baru-baru ini,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment