My Add

Tuesday 5 February 2013

400,000 pekebun kecil peroleh manfaat bahan rangsangan lateks

 *SHAFIE Apdal dan Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik membunyikan hon tanda bermulanya Pelancaran Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional sambil disaksikan oleh Dato' Wan Mohamad Zuki (kanan) dan Dato' Ismail Abd. Mutallib (kiri) di TSB Bukit Lada 2, Maran, semalam.

MARAN, ISNIN, 04 Feruari, 2013: Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini melancarkan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan itu dalam kalangan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil getah mereka.

Majlis pelancaran kempen tersebut disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu majlis yang diadakan di sebuah kebun getah di Kampung Bukit Lada dekat sini.

Mohd Shafie berkata, insentif yang dilaksanakan oleh RISDA itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh negara.

"RISDA memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk kempen ini yang mana para pekebun kecil akan dibekalkan dengan bahan rangsangan untuk digunakan oleh mereka" katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian tersebut.

Yang hadir sama, Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik; Ketua Pengarah RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Wan Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Dato' Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Maran, Dato' Ismail Mutalib.

Menurut Mohd Shafie, hasil kajian menunjukkan amalan tersebut dapat meningkatkan produktiviti getah antara 15 hingga 47 peratus.

"Namun kesedaran tentang kepentingan penggunaan bahan rangsangan dalam kalangan pekebun kecil masih berada pada tahap yang rendah.

"Inilah sebabnya pihak RISDA melancarkan kempen rangsangan ini supaya amalan ini dijadikan satu budaya oleh pekebun kecil di seluruh negara," katanya.

Katanya, pelancaran kempen juga merupakan satu langkah proaktif yang dilakukan oleh RISDA bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka.

"Saya harap usaha gigih RISDA mengajak dan menyeru pekebun kecil mengamalkan penggunaan rangsangan ini akan membuahkan hasil membanggakan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengumumkan satu lagi insentif kasih sayang yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk pekebun kecil iaitu Skim Takaful Khairat Kematian Berkelompok RISDA.

Katanya, skim itu merupakan satu perlindungan yang mampu meringankan beban keluarga pekebun kecil jika berlaku kematian.

"Kita tahu pekebun kecil ketika di kebun getah terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan. Oleh itu, di bawah skim ini pampasan kewangan berjumlah RM2,000 akan diberikan jika berlaku kematian," katanya.

Beliau memberitahu, dianggarkan seramai 85,326 pekebun kecil akan menerima faedah dari skim itu dengan jumlah keseluruhan premium bagi tempoh setahun sebanyak RM1.6 juta. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment