My Add

Tuesday 5 February 2013

Sasar semua pekebun guna bahan rangsangan lateks 


MARAN, ISNIN, 04 Februari, 2013: RISDA menyasarkan semua pekebun kecil akan menggunakan bahan rangsangan lateks bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui kempen yang dijalankan oleh pihaknya.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, sasaran itu dibuat selepas melihat sambutan yang diberikan oleh pekebun kecil pada program perasmian hari ini.

"Saya difahamkan ketika ini 4 peratus sahaja pekebun kecil yang mengamalkan penggunaan bahan rangsangan lateks kerana bimbang kerosakan kepada pokok.

"Namun saya yakin dengan bantuan RISDA, penggunaan bahan rangsangan lateks ini akan berjaya dilaksanakan secara keseluruhannya," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional hari ini.

Menurut beliau, jika bahan rangsangan itu dilaksanakan mengikut syor, produktiviti getah akan dapat ditingkatkan antara 15 peratus sehingga 47 peratus.

"Kakitangan RISDA akan sentiasa memberi tunjuk ajar tentang penggunaan amalan ini dengan betul," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, RISDA bukan sahaja menitikberatkan dari segi peningkatan produktiviti tetapi turut berusaha memastikan pekebun kecil memperoleh kehidupan yang sejahtera melalui peningkatan pendapatan.

Katanya, RISDA menyasarkan pekebun kecil akan memperoleh pendapatan RM2,500 sebulan menjelang 2015 dan RM4,000 pada 2020.

"Untuk menjayakan matlamat tersebut, RISDA mengambil beberapa inisiatif dengan menyediakan beberapa bentuk bantuan sebagai dorongan kepada pekebun kecil.

"Mulai tahun 2013, Skim Insentif Produkviti Getah akan dilaksanakan bagi pokok getah matang dengan memberi bantuan baja dan bahan rangsangan cecair," katanya.

Program itu dilaksanakan bagi memastikan produktiviti kebun getah matang pekebun kecil ditingkatkan kepada 1,750 kilogram setahun bagi sehektar menjelang 2015.

"Sebagai permulaan sebanyak RM8.5 juta telah diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada seramai 17,876 pekebun kecil dengan keluasan tanah seluas 26,814 hektar," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment