5 perjanjian pelaburan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China
KUANTAN, SELASA, 05 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani lima dokumen yang menandakan permulaan kemasukan pelaburan di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, di sini.
Perjanjian pertama melibatkan pemilikan saham antara konsortium Malaysia dengan China bagi penubuhan Syarikat Usaha Sama MCKIP.
Kedua, memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kumpulan Pelabuhan Antarabangsa Teluk Guanxi Beibu melibatkan pembangunan tiga projek di MCKIP iaitu kilang besi, kilang aluminium dan loji penapisan minyak sawit.
Ketiga, MoU antara Kumpulan Pelabuhan Antarabangsa Teluk Guanxi Beibu dan Kumpulan Rimbunan Hijau untuk pelaburan dalam loji penapisan minyak sawit di MCKIP.
Keempat, MoU antara IJM Corporation Berhad dan Kumpulan Pelabuhan Antarabangsa Teluk Guanxi Beibu mengenai pembangunan dan pembesaran Pelabuhan Kuantan.
Terakhir, Rangka Perjanjian berhubung kerjasama kewangan antara China Developement Bank Corporation dengan Pemaju Induk MCKIP melibatkan konsortium Malaysia dan China.
Berucap merasmikan MCKIP, Najib turut mengumumkan Kumpulan Pelabuhan Antarabangsa Teluk Guanxi Beibu akan bekerjasama dengan IJM Corporation Berhad bagi melaksanakan projek pembesaran Pelabuhan Kuantan melibatkan nilai pelaburan lebih RM3 bilion.
"Pembesaran itu merangkumi pembinaan sebuah terminal laut dalam yang baharu untuk menjadikan pelabuhan tersebut cukup kompetitif sebagai antara pelabuhan utama dunia," katanya.
Sementara itu, Najib mengumumkan kedua-dua negara kini sedang di peringkat akhir perbincangan mengenai Program Pembangunan Lima Tahun Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi.
Katanya, program tersebut akan merangka peluang kerjasama antara sekarang hingga 2017 sekali gus membentuk arah jelas untuk pertumbuhan pada masa hadapan.
Tambah Najib, kerajaan juga menjangkakan lebih RM1 bilion pelaburan langsung asing (FDI) China ke Malaysia tahun ini dengan tempoh lima tahun akan datang dijangkakan perdagangan dua hala mampu mencecah AS$100 bilion (RM309 bilion).
"Hari ini, China merupakan pasaran eksport terbesar bagi Malaysia dan import keenam terbesar negara. Hubungan ekonomi ini berikutan asas diplomatik yang kukuh antara dua negara," jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment