My Add

Thursday 7 February 2013

800,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun lalu: Muhyiddin

PADANG BESAR, KHAMIS 07 Februari, 2013: Hampir 800,000 peluang pekerjaan diwujudkan di negara ini tahun lalu, suatu bukti jelas bahawa Malaysia berada pada kedudukan ekonomi yang kukuh walaupun banyak negara berdepan kegawatan ekonomi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang pekerjaan yang banyak menyebabkan Malaysia menghadapi masalah tidak cukup tenaga kerja terlatih untuk mengisi kekosongan di sektor tertentu.

"Kita sediakan peluang pekerjaan cukup banyak. Kini ladang tak cukup pekerja, kilang pun tak cukup. Anak-anak muda yang ada tak cukup untuk tampung keperluan sektor tertentu. Kita terpaksa bawa pekerja asing untuk penuhi keperluan dan tuntutan industri," katanya pada Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dewan Seri Melati Beseri dekat sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini, kerajaan dapat mempertingkatkan pendapatan rakyat berbanding beberapa tahun lalu.

"Terkini (diperkenalkan) gaji minimum wajib... tak boleh kurang RM900 sebulan. Kita kira itu (RM900) gaji minimum supaya tidak termasuk masuk golongan miskin. Itu tak termasuk elaun dan kemudahan lain," katanya.

Beliau berkata, banyak negara di dunia berdepan pelbagai masalah seperti kemerosotan dan kemelesetan ekonomi berpanjangan, pengangguran agak ketara, masalah rakyat yang masih miskin selain krisis dan ketidakstabilan disebabkan ancaman keselamatan.
"Kita mampu perlihatkan kesungguhan untuk bangunkan masyarakat kita. Ekonomi Malaysia masih berkembang, tak menguncup. Sesetengah negara makin lama makin menguncup. Malaysia tahun lalu pertumbuhan ekonomi lima peratus," katanya.

Oleh itu, katanya, dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Malaysia bankrap adalah tidak benar sama sekali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment