My Add

Sunday 3 February 2013

Agihan BR1M 2.0 selesai akhir Februari

 *NOR Mohamed Yakcop mengagihkan bantuan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada penerima di Sungai Dua, Pulau Pinang, semalam.

TASEK GELUGOR, SABTU, 02 Febuari, 2013: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang mula diagihkan kepada penerima hari ini di seluruh negara dapat diselesaikan akhir bulan ini.

Beliau berkata, pemberian kali kedua oleh Kerajaan Persekutuan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat khususnya yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.

"Bantuan ini disampaikan secara berperingkat, semua yang membuat permohonan akan diberi surat jawapan, kita yakin hujung bulan ini semua akan selesai agihkan bantuan. Pada tahun ini, ditambah satu lagi kategori iaitu individu bujang yang dapat RM250.

"Diharap bantuan ini dapat ringankan beban kewangan penerima dan ini turut membuktikan bahawa kerajaan BN tidak pernah mungkir janji, kita sentiasa mendahulukan rakyat, mahu rakyat dapat hidup dengan selesa, itu telah menjadi dasar pemerintahan kita sejak dahulu lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau menyampaikan cek BR1M 2.0 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) seluruh Pulau Pinang untuk diagihkan kepada penerima BR1M 2.0 di kawasan masing-masing di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua.

Katanya, di Pulau Pinang, terdapat 416,000 penerima BR1M 2.0 melibatkan peruntukan RM183.6 juta dan daripada jumlah itu, 115,000 orang adalah penerima bagi kategori orang bujang.

"Jumlah penerima BR1M 2.0 meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas. Pada 2012 hanya 245,000 orang terima BR1M dan melibatkan perbelanjaan RM122.4 juta," katanya.

Tahun ini, katanya, tujuh juta isi rumah dan individu bujang akan memperoleh BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion.

BR1M 2.0 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2013.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata, pemberian BR1M 2.0 juga membuktikan bahawa kerajaan BN mempunyai kemampuan dan pengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan dan keuntungan yang diperoleh diagihkan secara adil kepada rakyat.

"Kerajaan sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk membantu hidup rakyat, tidak banyak negara lain yang mengambil langkah seperti dilakukan Kerajaan Persekutuan," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment