My Add

Sunday 3 February 2013

Kenyataan bercanggah Islam

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

TUMPAT, SABTU, 02 Februari, 2013: Sebuah pertubuhan yang mewakili masyarakat pondok tradisional, Minda Pondok menyifatkan tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang 'menghukum' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan masuk neraka bertentangan dengan ajaran Islam.

Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, dalam Islam, tidak ada sesiapa pun boleh menentukan syurga dan neraka kecuali Allah Yang Maha Esa.

"Allah SWT telah berfirman dalam surah An-Nisa: Siapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau pun perempuan dan mereka beriman kepada Allah nescaya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan sedikit pun tidak akan dianayai.

"Maka dengan ini jelas menunjukkan bahawa Nik Aziz selaku Mursyidul Am Pas mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan ajaran Islam

"Nik Aziz juga tidak pernah konsisten dalam setiap kenyataannya, lihat dalam isu kalimah Allah sebelum ini apabila mengatakan orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah suci itu tetapi membuat pusingan 'U' selepas itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Syamsul berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi terbaharu yang dicetuskan oleh Nik Aziz apabila 'menghukum' menteri yang bertanggungjawab dalam agihan royalti minyak kepada kepada negeri ini akan masuk neraka kerana mendakwa individu itu menafikan hak Kerajaan Pas Kelantan.

Biarpun tidak menyebut dengan khusus nama menteri yang dimaksudkan, dapat difahami bahawa beliau merujuk kepada Najib.

Pada masa sama, Mohd. Syamsul meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas Nik Aziz yang sering kali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.

"Saya mewakili Minda Pondok dan Gerakan Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati) menggesa MAIK mengambil tindakan tegas terhadap Nik Aziz kerana kenyataannya itu mengelirukan masyarakat terutama di negeri ini dalam sudut agama Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment