My Add

Tuesday 5 February 2013

Bekas tokoh Pas salahkan Hadi

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, ISNIN, 04 Februari, 2013: Kelantangan Karpal Singh yang berterusan mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu kalimah Allah adalah disebabkan kelemahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri selaku presiden parti itu.

Bekas Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Norman Toha berkata, Abdul Hadi 'bersalah' kerana bertindak membelakangkan Majlis Syura Ulama ketika bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam pada 8 Januari lalu.

Katanya, walaupun Presiden Pas itu kemudian membuat pusingan 'U' pada 13 Januari selepas Majlis Syura Ulama membuat keputusan, tetapi ia sudah terlambat dan kini beliau terperangkap menyebabkan pemimpin DAP semakin biadab.

Lebih tidak bertanggungjawab jelas Norman, Abdul Hadi menjadikan UMNO sebagai kambing hitam dalam isu tersebut, sedangkan kontroversi kalimah Allah ditimbulkan sendiri rakan sekutunya dalam DAP iaitu Lim Guan Eng.

"Ini bukan kali pertama Abdul Hadi terperangkap dengan permaianan politik golongan parasit dalam Pas. Pada 2011, beliau membelakangkan Majlis Syura Ulama apabila menggugurkan perjuangan negara Islam kepada negara kebajikan.

"Kemudian pada 8 Januari lalu walaupun mengetahui Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada 13 Januari, Abdul Hadi tetap membuat keputusan sendiri dengan menyokong kalimah Allah digunakan bukan Islam.

"Sebab itu, pemimpin DAP khususnya Karpal begitu berani mendesak beliau kembali kepada keputusan 8 Januari. Ini semua kerana sikap terburu-buru Abdul Hadi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, Karpal yang menentang keras hudud dan negara Islam menyanggah kenyataan Abdul Hadi yang menganggap isu kalimah Allah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik bukan Islam termasuk pemimpin DAP.

Menurut Pengerusi DAP itu, kenyataan Abdul Hadi benar kerana pakatan pembangkang berpegang teguh kepada keputusan pada 8 Januari dan beliau mengulangi desakan agar Majlis Syura Ulama mengkaji semula pendirian mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad berkata, tindakan terburu-buru Abdul Hadi dalam membuat keputusan berhubung isu tersebut telah memberi kesan kepada parti.

Menurut beliau, selaku orang lama dalam arena politik, Presiden Pas seharusnya memikirkan kesan keputusan itu yang dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Syura Ulama dan beliau perlu bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

Malah dalam nada sinis Hasan Basri berkata, beliau 'memuji' sikap konsisten Karpal dalam mempertahankan isu kalimah Allah mengikut idealogi DAP berbanding pemimpin-pemimpin Pas yang tidak tetap pendirian.

"Inilah dia akibatnya apabila Presiden Pas mendahului Majlis Syura Ulama dan memutuskan sesuatu tanpa merujuk majlis tersebut. Abdul Hadi sepatutnya bertanggungjawab dan tahu kesan atas keputusan yang diambil itu," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Muslim Osman berkata, Abdul Hadi wajib kekal patuh dengan keputusan Majlis Syura Ulama walaupun ditekan hebat pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu tersebut.

"Sebagai manusia beliau tidak lari daripada kesilapan apabila bertindak mendahului Majlis Syura Ulama tetapi kini Abdul Hadi wajib mempertahan pendirian majlis tersebut kerana ini soal akidah bukan lagi politik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment