My Add

Tuesday 5 February 2013

Sampaikan ilmu Islam sebenar

Oleh HUSSAINI AMRAN
 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin kira-kira 52,000 guru pendidikan Islam di seluruh negara berupaya memainkan peranan secara lebih aktif dalam menyampaikan ilmu Islam yang sebenar kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, suluhan ilmu para ustaz dan ustazah itu mampu menghindari masyarakat daripada dipengaruhi oleh fahaman-fahaman songsang tentang agama Islam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berharap peranan guru-guru pendidikan Islam sebagai golongan yang berpengetahuan luas dalam bidang agama tidak terhad dalam lingkungan sekolah sahaja.

"Lebih-lebih lagi dalam konteks cabaran pemikiran dan akidah yang sedang hebat melanda umat Islam hari ini, maka guru-guru pendidikan Islam perlu memainkan peranan secara lebih aktif dalam menyampaikan mesej dakwah yang berteraskan ajaran al-Quran dan Sunnah serta memimpin masyarakat ke arah kebenaran," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran, Abdullah Md. Din.

Multaqa Nasional selama sehari anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran itu dihadiri oleh seramai 3,500 guru pendidikan Islam dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyeru umat Islam di negara ini menolak fahaman songsang tentang Islam yang bukan sahaja boleh mengancam akidah malah mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

"Adalah malang sekiranya umat Islam dibiarkan berpecah-belah semata-mata kerana ada sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri yang terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

"Tindakan sebegini hanya akan mencetuskan persengketaan dalam masyarakat yang akhirnya menjejaskan keharmonian dan keamanan yang kita kecapi selama ini," ujarnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, umat Islam mesti sentiasa berusaha memperkukuhkan perpaduan bagi mempertahankan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

"Marilah kita terlebih dahulu menzahirkan penyatuan hati (wahdatul qalb) dan penyatuan pemikiran (wahdatul fikr) dalam kalangan umat Islam dengan berpandukan ajaran Islam dan as-Sunnah.

"Seterusnya, marilah kita cetuskan penyatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan penyatuan amal (wahdatul amal) yang akan memelihara kesatuan umat Islam buat selama-lamanya," katanya.

Muhyiddin berkata, dengan berteraskan empat prinsip wahdah itu, umat Islam bukan sahaja akan berjaya menangani segala cabaran pemikiran dan akidah yang sedang melanda malah akan muncul sebagai umat terbaik seperti yang dijanjikan Allah SWT di dalam al-Quran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment