My Add

Tuesday 5 February 2013

YPP1M kemas kini Direktori Pondok dua tahun sekali

*MASHITAH Ibrahim (kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Murid-murid Kitab Turath Melaka, Fuad Ebnu Ali (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar ketika melawat Madrasah Al-Hasanah di Kampung Padang Temu, Melaka, semalam. - BERNAMA

MELAKA, ISNIN, 04 Februari, 2013: Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) akan mengemas kini Direktori Pondok dalam tempoh dua hingga tiga tahun sekali dalam usaha memantau pondok-pondok yang berdaftar di negara ini.

Penasihat Kehormatnya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkara itu bagi membolehkan YPP1M membantu memajukan, membangunkan dan mengembangkan institusi pondok di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, sejak Direktori Pondok dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 November tahun lalu, masih banyak maklumat mengenai institusi pondok belum dimasukkan ke dalam direktori tersebut.

"Selama ini belum ada usaha secara formal dilakukan bagi membukukan nama-nama pondok dan ini merupakan Direktori Pondok yang pertama di negara ini.

"Saya yakin masih ada lagi pondok-pondok yang tidak sempat dibukukan dan YPP1M mengambil keputusan meneruskan projek ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun sekali berdasarkan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan dan penyerahan sumbangan kepada Pertubuhan Murid-murid Kitab Turath (PMTK) Melaka di Madrasah Al-Hasanah, Kampung Padang Temu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada PMTK berupa sejadah, al-Quran dan majalah.

Menurut Mashitah, madrasah itu merupakan pondok pertama yang dikunjungi YPP1M dalam usaha merapatkan hubungan serta menilai dengan lebih dekat hala tujunya.

Katanya, YPP1M akan turut melakukan lawatan serta menyerahkan sumbangan kepada pondok-pondok di negeri lain yang disenaraikan dalam direktori itu.

Dalam pada itu Mashitah berkata, YPP1M akan menganjurkan Ijtima Ulama Pondok akhir tahun ini dalam usaha mengetengah dan memartabatkan pengajian agama di pondok-pondok seluruh negara.

"Ijtima ini juga bagi melahirkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan institusi yang menjaga akidah dan melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah," katanya.

Menurut Mashitah, menerusi Ijtima Ulama tahun ini, YPP1M bercadang mencari warga emas pondok dan pelajar pondok contoh untuk dinobatkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment