My Add

Saturday 2 February 2013

Bersatu betulkan keputusan
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Golongan ulama dalam Pas terutama ahli Majlis Syura Ulama diseru supaya bersatu 'memperbetulkan' keputusan memecat bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa yang dilihat dibuat tanpa mengikuti prosedur.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. berkata, selain dilihat membuat keputusan yang salah, pemecatan Nasharudin menguatkan lagi bukti bahawa golongan pro- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau digelar 'Anwarinas' dalam parti itu semakin menguasai Pas.

Dengan hal yang demikian, katanya, keputusan Pas yang tidak memberi peluang kepada Nasharudin untuk membela diri akan menyebabkan tindak-tanduk parti itu semakin terkeluar daripada landasan Islam yang mementingkan prinsip keadilan dan sahsiah.

"(Pemecatan Nasharudin) Ini bukan keputusan main-main, apatah lagi pemecatan budak sekolah rendah pun ada prosedur serta tertib tertentu seperti memberikan peluang kanak-kanak itu membela diri, memberikan sebab dan sebagainya.

"Saya menyeru golongan ulama terutama dalam majlis syura menyedari hala tuju parti dan membuat ketetapan jitu untuk menarik balik keputusan memecat Nasharudin atau sekurang-kurangnya merendah diri untuk mengkajinya semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan beberapa tokoh Pas semalam seperti Datuk Muslim Othman yang meminta majlis itu mengkaji semula pemecatan Nasharudin sebagai anggotanya.

Lebih mengelirukan, Nasharudin sehingga kini belum menerima surat pemecatan tersebut dan hanya mengetahuinya melalui media sedangkan kepimpinan Pas mendakwa keputusan itu dibuat pada 13 Januari lalu.

Sebelum ini, sumber dalaman Pas memberitahu Utusan Malaysia, Nasharudin juga tidak diberi surat tunjuk sebab serta hak membela diri dan kemungkinan pemecatan itu dibuat selepas pemimpin Pas melihat beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.

Sumber itu turut mendedahkan jika kepimpinan Pas memecat Nasharudin kerana mengiringi Perdana Menteri ke Gaza dianggap satu kesalahan, dua lagi pemimpin kanan Pas juga perlu dikenakan tindakan sama kerana mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah baru-baru ini.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad memberitahu, pemecatan itu menunjukkan kepimpinan Pas mengamalkan politik permusuhan yang mendalam dengan UMNO tanpa mengikut lunas keadilan.

"Saya doakan agar Nasharudin teruskan perjuangan beliau tanpa menghiraukan keputusan Majlis Syura Ulama memecatnya kerana jelas dibuat secara melulu dan berdasarkan kebencian.

"Alasan kerana Nasharudin sering tidak hadir mesyuarat juga sukar diterima kerana seperti mengikut pendedahan baru-baru ini, Ustaz Daud Iraqi juga sering berbuat demikian, jadi ini jelas menunjukkan Pas amat benci UMNO," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment