BN Pulau Pinang sedia rangka kerja untuk perkukuh ekonomi negeri
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang merangka satu dasar rangka kerja untuk negeri itu, dalam usaha mengukuhkan ekonomi negeri itu apabila parti gabungan itu kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, berkata rangka kerja itu akan bertindak sebagai 'manifesto mini' BN negeri untuk masyarakat Pulau Pinang.
Beliau berkata, rangka kerja itu merangkumi tiga cabaran utama yang perlu ditangani dengan baik.
Katanya, cabaran berkenaan adalah mempelbagaikan ekonomi negeri, pengukuhan pembangunan sosial dan pembangunan menyeluruh di negeri itu.
"Dasar kita adalah untuk kita memperkukuhkan ekonomi negeri Pulau Pinang, kita mahu berganjak daripada hanya memberi tumpuan dalam industri pembuatan yang memberi penekanan kepada industri elektronik kepada pengwujudan satu lagi enjin pemacu ekonomi negeri, iaitu industri perkhidmatan," katanya kepada BERNAMA selepas menghadiri wawancara program Hello Malaysia terbitan Bernama TV.
Wawancara bertajuk 'Pulau Mutiara: Cabaran dan Harapan' akan ditayangkan pada hari ini jam 10 malam.
Bagaimanapun, Teng mengakui bahawa enjin ekonomi baru tidak akan mengganti industri pembuatan semasa, tetapi dengan hasrat untuk mempelbagaikan ekonomi negeri.
"Dalam sektor perkhidmatan, kita akan memberi penekanan kepada pembangunan, pelancongan, kewangan, perubatan dan pendidikan untuk memperkukuhkan sektor ini yang seterusnya akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih besar berbanding sektor pembuatan.
"Sektor pembuatan Pulau Pinang telahpun memasuki teknologi yang tinggi, di mana keperluan guna tenaga berkurang apabila kita melangkah kepada penggunaan teknologi yang lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai harga hartanah yang melambung di pulau itu, Teng berkata, peningkatan yang tinggi dalam harga rumah disebabkan caj premium yang dikenakan oleh kerajaan negeri.
Harga hartanah yang meningkat di kawasan bandar, masih kekal pada kadar yang berpatutan di pinggir bandar seperti di sebelah tanah besar Pulau Pinang.
"Dari segi pembangunan sosial, kita perlu perumahan mampu milik yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah rumah yang di luar kemampuan kebanyakan rakyat di Pulau Pinang," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menawarkan untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik dalam usaha untuk memenuhi keperluan perumahan warga Pulau Pinang dan perkhidmatan monorel untuk menangani kesesakan lalu lintas di negeri itu jika BN diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pada pilihan raya umum 2008, Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat apabila pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS memenangi 29 dari 40 kerusi dewan undangan negeri dan menewaskan semua kerusi Gerakan dan MCA dan UMNO memenangi 11 kerusi.
Sementara itu, dalam wawancara dengan Hello Malaysia, Teng berkata, Pulau Pinang beralih ke era yang lebih mencabar untuk menjadi sejajar dengan transformasi ekonomi negara.
"Pulau Pinang juga perlu bersedia untuk menghadapi transformasi ini. Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan, khususnya pendapatan penduduk ataupun pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Mengenai pembangunan menyeluruh negeri, Teng berkata, BN melihat pada pembangunan semula kawasan bandar.
"(Kita sedang melihat) Jumlah peratusan tanah yang boleh dibuka untuk pembangunan dan bagaimana pula kita hendak melihat kepada pembangunan dalam kawasan yang ketinggalan.
"Sebab itu kita kata satu dasar menyeluruh perlu diwujudkan, jika tidak Pulau Pinang akan menghadapi masalah yang ketara pada lima atau 10 tahun yang akan datang," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment