Dr. Mahathir persoal tindakan membisu pembangkang
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan sikap membisu pihak tertentu termasuk pembangkang yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes berkaitan 'pembunuhan tanpa perbicaraan'.
Bekas Perdana Menteri itu yang mengambil contoh tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) membunuh sesiapa sahaja yang dianggap pengganas, tetapi sehingga kini pihak berkenaan langsung tidak menyentuh isu berkenaan.
"Saya tertanya-tanya, apakah rakyat negara ini yang selama ini menentang tindakan penahanan tanpa perbicaraan khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memikirkan soal pembunuhan tanpa perbicaraan? Tetapi sehingga kini mereka tidak mengulas pun isu ini.
"Mungkin mereka fikir membunuh tanpa dibicarakan tidaklah seteruk menahan tanpa perbicaraan. Mungkin ini yang mereka akan lakukan jika memerintah negara. Saya cuma tertanya-tanya," katanya dalam blognya, http:// chedet.cc hari ini.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan telah memansuhkan ISA kerana rakyat menyatakan adalah tidak tepat jika menahan seseorang tanpa dibicarakan selain tidak adil dan mencabuli hak asasi manusia.
Pembangkang juga jelasnya, seakan 'menjuarai' desakan pemansuhan itu dan melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan tidak menghormati hak asasi manusia dan prinsip-prinsip keadilan.
"Tetapi perang terhadap keganasan yang diketuai AS bukannya perang terhadap negara tetapi pengganas. Siapa itu pengganas? Secara amnya pada pandangan AS, pengganas ialah orang Islam tetapi khususnya al-Qaeda. Siapa menentukan ahli al-Qaeda? Bukannya al-Qaeda tetapi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan kerajaan AS.
"Jika AS kata seseorang itu pengganas al-Qaeda, maka tiada siapa yang mampu pertikai dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Sebagai pengganas, AS akan mengatakan mereka musuh dan mengancam negara. Ini alasan kuat untuk membunuhnya," tegas beliau.
Ujarnya, apabila AS mengklasifikasikan seseorang itu sebagai pengganas, pihak yang dituduh itu tidak akan didakwa di mahkamah dan boleh dibunuh oleh ejen-ejen AS.
"Dan sehingga hari ini, walaupun AS mengkritik penahanan tanpa perbicaraan, mereka telah membunuh sesiapa sahaja tanpa perbicaraan. Kerajaan AS tidak perlu memberikan penjelasan mengapa seseorang itu pengganas dan jenis ancaman yang dibawanya kepada AS.
"Pada 2011, seorang lelaki Yemen kelahiran AS dibunuh melalui serangan udara. Ramai rakyat AS juga dibunuh menerusi kaedah sama. Sudah tentu ramai lagi rakyat asing yang dibunuh di luar tanpa perbicaraan.
"Kerajaan negara terlibat mungkin atau tidak mungkin diberitahu. Kebenaran mereka tidak diperlukan. AS mempunyai hak untuk mencabuli ruang udara negara itu, kedaulatan dan menghantar pesawat bagi membunuh pengganas. Tetapi dalam hal ini, orang yang tidak bersalah akan turut terbunuh. Ini sangat malang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment