My Add

Saturday 23 February 2013

Kalimah Allah: Lagi NGO desak DAP, Karpal tarik balik kenyataan

PULAU PINANG, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kira-kira 15 individu mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini, mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid At-Taqwa, Taman Tun Sardon, Gelugor selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap isu kalimah Allah.

Dalam perhimpunan berlangsung selama 15 minit itu, mereka turut menyelar pendirian pakatan pembangkang terhadap isu berkenaan dan mendesak supaya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati pendirian Majlis Syura Ulama Pas.

Wakil NGO berkenaan, Azmi Jaafar berkata, pihaknya tidak akan berhenti menyuarakan bantahan selagi kepimpinan DAP dan PKR, terutama Karpal tidak berhenti daripada bercakap mengenai kalimah tersebut.

Tegasnya, sebagai ahli Pas, beliau juga mahu Karpal memohon maaf di atas keterlanjurannya membidas keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan pengunaan kalimah berkenaan kepada bukan Islam.

"Kalimah Allah juga bukan milik pakatan pembangkang jadi kita minta mereka supaya menghormati umat Islam dan Perlembagaan negara.

"Jelas dalam Perlembagaan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kita harap rakyat membuka mata pada pilihan raya umum akan datang. Pembangkang tidak layak untuk mentadbir negara ini dengan kebiadapan Karpal dalam isu kalimah Allah," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi berkenaan.

Pada 8 Januari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, selepas itu Majlis Syura Ulama memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.

Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin menegaskan, pihaknya mahu pembangkang terutama DAP tidak terlalu memainkan sentimen yang boleh membakar kemarahan umat Islam di negara ini.

"Kita kecewa dengan pembangkang kini yang dilihat seolah-olah tidak menghormati agama Islam," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment