My Add

Saturday, 23 February 2013

Empat sebabkan kematian rakan dijel 8 tahun 6 bulan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kematian seorang wanita yang terjun dari tingkat tujuh sebuah kondominium akibat tidak tahan diseksa oleh empat rakannya menggunakan air panas dan dibogelkan akhirnya mendapat keadilan hari ini.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun enam bulan terhadap Sherill Clarissa Razif, 24, Ellina Mahili, 25, Raja Nur Bahiah Raja Kamarulzaman, 24, dan Huzaifah Kamal, 24, kerana menyebabkan kematian Nor Shahirah Hassan, 27.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap ketiga-tiga wanita itu dan seorang lelaki (Huzaifah) selepas menerima pengakuan bersalah mereka.

Mereka didakwa bersama-sama mencapai niat bersama menyebabkan kecederaan tubuh badan Nor Shahirah yang mungkin menyebabkan kematiannya di Blok 3, No. 3-7-7, Genting Court Kondominium, Jalan Genting Klang, Setapak, Sentul di sini pada pukul 4.37 pagi, 3 Februari 2012.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Menurut fakta kes, Sherill dan Raja Nur Bahiah mencurahkan air panas yang mendidih ke atas muka dan badan mangsa sebanyak tiga kali sambil memukul dan menendang sebelum kesemua tertuduh bersama-sama membogelkan mangsa.

Mangsa kemudian diarahkan masuk ke dalam sebuah bilik untuk mengambil kain mengelap lantai dan mangsa tidak keluar dari bilik itu sehingga kesemua tertuduh mendapati tingkap bilik terbuka dan mangsa tertiarap di bawah bangunan dalam keadaan berbogel.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 3 Februari 2012 mendapati mangsa mati kerana kecederaan berganda akibat jatuh dari bangunan dan melecur 50 peratus di bahagian badan.

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, peguam-peguam tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guam masing-masing yang telah menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku bersalah di peringkat awal kes. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment