My Add

Sunday 24 February 2013

Kaji Bahasa Inggeris wajib lulus SPM

 *MUHYIDDIN Yassin disambut ribuan guru ketika hadir pada Himpunan Guru
 Muda 1Malaysia di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - BERNAMA

Oleh Tarmizi Abdul Rahim
KOTA KINABALU, SABTU, 23 Februari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, langkah itu tidak bermaksud mata pelajaran Bahasa Melayu akan dipinggirkan kerajaan tetapi akan turut diperkasakan bersama dengan dua lagi mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Sains.

Menurutnya, perancangan itu terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 antara lain bertujuan melahirkan generasi kepimpinan negara atau modal insan yang mampu berfikir di luar batasan.

"Perkara ini menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan modal insan negara mampu bersaing dengan negara-negara maju lain apabila negara mencapai status negara maju pada 2020, buktinya sebanyak RM500 juta diperuntukkan kerajaan bagi melatih para guru dalam empat mata pelajaran teras itu.

"Sekiranya para pelajar dan sistem telah bersedia, cadangan dan saranan untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam seperti SPM akan dilaksanakan," katanya dalam ucapan sempena Himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan hampir 5,000 Guru Muda 1Malaysia bagi zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada Jun 2009, Kementerian Pelajaran meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Terdahulu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada guru muda di Sabah dan Sarawak yang cekal menghadapi cabaran untuk mendidik anak bangsa sehingga sesetengah daripadanya terpaksa mengharungi sungai, laut dan berjalan berjam-jam untuk sampai ke sekolah.

"Perkara seperti itu biasanya tiada di Semenanjung, saya akui tugas mendidik bukannya mudah lebih-lebih lagi bagi kawasan pedalaman seperti yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

"Saya tabik anda semua, tanpa kecekalan dan semangat serta iltizam matlamat mendidik anak bangsa menjadi modal insan cemerlang tidak akan tercapai," katanya.

Tambah Timbalan Perdana Menteri, peratusan guru muda berusia antara 21 dan 35 tahun pada masa ini ialah 49.5 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di negara ini dan mereka ini akan memikul amanah bagi melengkapkan modal insan berkualiti sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

"Guru amat istimewa iaitu bukan setakat penjawat awam sahaja tetapi seorang profesional kerana penjawat awam lain hanya gunakan ilmu untuk organisasi mereka sahaja tetapi sebaliknya para guru menurunkan ilmu di dada mereka kepada anak bangsa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment