My Add

Sunday 24 February 2013

GIGIH dilancar bagi kongsi kejayaan

KUALA TERENGGANU, SABTU, 23 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program GIGIH, satu inisiatif bagi menggalak dan menyemarakkan lagi cetusan semangat keusahawanan di kalangan rakyat melalui pendekatan yang berbeza.

Program oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) itu akan mencungkil dan mengiktiraf mana-mana individu yang berjaya meningkatkan taraf hidup menerusi aktiviti keusahawanan di samping berkongsi kejayaan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program inovatif itu ketika menghadiri Program Jelajah Janji Ditepati Terengganu yang diadakan di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mark Rozario (gambar) berkata, inisiatif GIGIH berbeza dengan program-program keusahawanan yang dianjurkan oleh agensi-agensi lain di negara ini.

"Kita mencari mereka yang menunjukkan kesungguhan untuk memajukan diri sendiri bagi menambah pendapatan serta mengetengahkan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan daripada kalangan yang dikategorikan terbaik untuk dijadikan inspirasi kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ini merupakan suatu cabaran bagi menemukan sekitar 5,000 model usahawan dan melalui proses penilaian kelak, 50 orang yang berpotensi akan diketengahkan dan pengalaman mereka akan dikongsi dengan 1,000 pengusaha baru.

Mereka yang ingin menyertai cabaran GIGIH dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun dari www.gigih.my. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment