My Add

Saturday, 2 February 2013

Henti salah guna isu kalimah Allah - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak semua pihak supaya berhenti daripada menyalahgunakan isu kalimah Allah bagi mengelak berlakunya konfrontasi agama.

Menurut beliau, kontroversi tersebut seharusnya diselesaikan secara tertutup oleh pihak berwajib biarpun tindakan itu dilihat menafikan hak atau kebebasan bersuara.

''Kebebasan walaupun dalam demokrasi liberal ada batasannya jika kita mahu demokrasi itu benar-benar berfungsi. Biarlah kontroversi itu diselesaikan secara tertutup. Jangan biarkan golongan ekstremis mengambil alih dan mengeksploitasi isu-isu agama.

''Konfrontasi agama akan menyebabkan akibat yang serius sehingga membawa kepada keganasan dan pembunuhan. Negara yang aman ini tidak lagi damai jika berdepan dengan keganasan agama,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaharu di blognya, http://chedet.cc.

Dr. Mahathir berkata, sejak sekian lama, Malaysia tidak pernah berdepan dengan keganasan antara penganut agama seperti yang berlaku di Ireland Utara, Lebanon dan beberapa kawasan di India walaupun negara ini memiliki penduduk berbilang agama.

''Kita hidup saling menghormati antara penganut agama dan hak mengamalkan agama masing-masing. Kita sentiasa mengelak daripada menyentuh sensitiviti agama lain.

''Malangnya, sekarang ini kita berdepan kontroversi isu penggunaan kalimah Allah. Malang sekali apabila sesetengah ahli politik yang mahu 'mengaut' sokongan penganut Kristian, desakan dibuat supaya Bible berbahasa Melayu menggunakan kalimah berkenaan,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, orang Kristian dan Yahudi sendiri mengetahui bahawa dalam kitab mereka termasuk Old Testament dan New Testament serta Bible versi King James dan versi-versi lain, kalimah Allah tidak dirujuk sebagai Tuhan.

Katanya, dalam kalangan penganut Kristian di negara ini, kecuali penduduk pribumi Sabah dan Sarawak, kalimah Allah untuk Tuhan juga tidak pernah digunakan.

''Dalam mana-mana kes, keperluan itu tidak timbul kerana kebanyakan khutbah tidak menggunakan bahasa Melayu. Malah, sepanjang pengetahuan saya, apabila khutbah dalam bahasa Melayu, kalimah Allah tidak juga digunakan,'' tegasnya.

Beliau mengulas tentang desakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali agar Bible versi bahasa Melayu yang diedarkan di sekolah dengan menggunakan kalimah Allah dan tulisan jawi dibakar, jelasnya, kenyataan itu tidak mencerminkan pandangan UMNO.

''UMNO percaya kalimah Allah adalah eksklusif untuk Islam. Oleh itu, saya melihat cubaan untuk mengaitkan kenyataan Ibrahim dengan UMNO sebagai sesuatu yang jahat. Dia mungkin menyokong UMNO tetapi bukannya jurucakap untuk parti,'' kata beliau.

Jelasnya, semua pihak perlu memahami situasi negara ini yang sekian lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

''Negara ini mencapai pembangunan kerana keamanan tersebut. Walaupun kita berbeza fahaman politik, tidak seharusnya menggunakan perbezaan agama untuk memenangi pilihan raya,'' tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment