My Add

Saturday 2 February 2013

WP perlu berada kedudukan teratas

 *YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Muhyiddin Yasin (empat, kiri) dan isteri, Norainee Abdul Rahman (empat, kanan), serta (duduk, kiri) M. Saravanan, Dr. Ali Hamsa, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, (berdiri belakang dari kiri) Ahmad Phesal Talib, Shukry Mohd. Salleh, Mohd. Isa Abdul Samad, Cheng Heng Jem, Ismail Omar, S. Samy Vellu dan Adnan Md. Ikshan. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT,0 1 Februari, 2013: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah mahu Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berada pada kedudukan teratas dalam aspek 'berdaya huni, daya saing global, mesra perniagaan dan indeks kebahagiaan.'

Seri Paduka bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2013 yang julung kali diadakan di Istana Negara, Jalan Duta di sini.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini bertemakan Perpaduan Teras Kesejahteraan Wilayah Persekutuan selaras dengan hasrat baginda mahu rakyat mencurah jasa dan bakti demi pembangunan serta kemajuan Wilayah Persekutuan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Turut serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikshan, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shukry Mohd. Salleh serta Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Sri Cheng Heng Jem.

"Kita tidak harus leka dan mudah berpuas hati menikmati kemajuan serta keselesaan, sudah sampai masanya Wilayah Persekutuan berada setanding dengan bandar raya tersohor lain di negara maju," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut berasa sukacita melihat ibu kota Kuala Lumpur membangun dengan pesat dan terus berada di landasan yang betul ke arah mencapai status bandar raya bertaraf dunia.

"Mudah-mudahan Kuala Lumpur dapat menjadi antara 20 bandar raya paling berdaya huni menjelang tahun 2020 seperti yang dihasratkan kerajaan," titah Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka menyeru supaya laungan muhibah serta perpaduan terus dipupuk dalam kalangan setiap peringkat masyarakat selain berusaha menerapkan nilai-nilai murni bagi melahirkan warga Wilayah Persekutuan yang berilmu, berintegriti dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

"Jangan jadikan isu kualiti sumber manusia rendah mahupun kemelut keruntuhan akhlak dan seumpamanya sebagai faktor penyebab negara yang dicintai ini tersasar daripada mencapai Wawasan 2020 seperti yang diidamkan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim mengingatkan supaya tidak mengetepikan pembangunan modal insan dalam memajukan pembangunan fizikal di semua Wilayah Persekutuan.

Titah baginda, modal insan yang bersatu padu, berkualiti dan mantap dari segi jasmani serta rohani adalah aset penting bagi memastikan aspirasi Wawasan 2020 dicapai.

Sebanyak 283 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat yang didahului Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama daripada Tuanku Abdul Halim.

Selain itu lapan penerima Darjah Seri Mahkota Wi layah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri turut diterima oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Di samping itu seramai 41 penerima dianugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran 'Datuk' turut diterima oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment