My Add

Saturday 2 February 2013

Himpunan Orang Muda Kedah capai matlamat

*MUKHRIZ Mahathir (dua dari kiri) melihat pengunjung BN Youth Job Fair, Mohd. Amirul Hakimi Azizan, 24, mengisi borang pendaftaran di komputer riba yang disediakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Himpunan Orang Muda Kedah selama dua hari yang berakhir hari ini berjaya mencapai matlamat untuk menghimpunkan lebih 50,000 belia di negeri ini bagi menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merupakan kemuncak dan daya tarikan utama untuk golongan muda hadir ke Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Katanya, pelbagai acara menarik yang diatur seperti forum dan aktiviti sukan mendapat sambutan menggalakkan golongan tersebut.

"Kami menawarkan aktiviti yang menepati cita rasa orang muda daripada acara yang penuh gilang-gemilang semalam iaitu bersama Perdana Menteri sehingga menyediakan apa yang orang muda mahu iaitu peluang-peluang pekerjaan.

"Lebih 4,600 peluang pekerjaan ditawarkan dengan penglibatan 83 buah syarikat dan saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini," katanya kepada pemberita selepas melawat BN Youth Job Fair di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Sekretariat BN Youth Job Fair, Derrick Chia berkata, karnival itu merupakan manifestasi golongan muda negeri ini menyokong dan menghargai kepimpinan Perdana Menteri.

"Sambutan belia terhadap BN Youth Fair 2013 ini adalah amat menggalakkan dan selain daripada mencari peluang pekerjaan, para belia juga mendapatkan maklumat untuk menyertai program-program latihan.

"Pada program ini juga mereka turut mendapatkan khidmat nasihat, bimbingan keusahawanan serta kemudahan pinjaman bagi yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment