My Add

Tuesday 5 February 2013

IM4U pupuk semangat kesukarelaan anak muda

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Februari, 2013: Generasi muda diajak menyertai aktiviti kesukarelaan melalui program 1Malaysia for Youth (1M4U) bagi memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta sanggup menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Exco 1M4U, Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, 1M4U merupakan platform terbaik bagi golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan mengikut cita rasa dan minat dalam menggerakkan negara pada masa depan.

Katanya, kejayaan program My Beautiful Malaysia yang juga inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai bukti anak muda di negara ini memiliki tahap kesedaran tinggi terhadap sosial, selain mempamerkan semangat jati diri dan bersatu hati demi kesejahteraan negara.

"Semangat kesukarelaan perlu disemai dalam kalangan belia bagi membentuk sikap kekitaan yang tinggi, sekali gus melahirkan suasana aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan program My Beautiful Malaysia yang berlangsung serentak di 390 lokasi di seluruh negara semalam.

Beberapa aktiviti dijalankan termasuk mengecat bangunan, kerja landskap dan membersihkan kawasan sekitar secara gotong-royong.

Jelasnya, beberapa Pusat Jangkauan akan dibuka bagi menyahut seruan Perdana Menteri untuk memacu Malaysia menjadi hab dan negara contoh dalam aktiviti kesukarelaan.

"Selain mengaktifkan beberapa Pusat Jangkauan di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, kami juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Belia dan Kesukarelaaan pada 2 Mac ini dengan menghimpunkan aktivis dari dalam dan luar negara dalam mencari kaedah terbaik untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti tersebut," jelasnya.

Irmohizam berkata, sehingga kini sebanyak 36,000 belia mendaftarkan diri sebagai ahli sejak dilancarkan pada 15 Julai tahun lalu.

"Kami menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada golongan muda untuk ke hadapan dan berkongsi pandangan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Mereka boleh terus mendaftar dan berhubung melalui laman rasmi www.1m4youth.com.my ataupun www.facebook.com/1M4YOUTH," ujarnya.

Sementara itu, beliau menyambut baik saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung agar 3 Februari setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Kesukarelaan.

"Perkara tersebut perlu dibincang dengan teliti dan mendapat maklum balas positif sebelum menjayakannya. Saya juga bersetuju jika program seumpama itu diadakan pada setiap tahun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment