My Add

Wednesday 6 February 2013

Iskandar sasar RM21 bilion

Oleh NURUL HUDA HASSAN
 
 *ABDUL Ghani Othman menyampaikan dana sebanyak RM2,380,000 di bawah skim Prosper dari Teraju kepada Noryati Japri yang mewakili 12 syarikat bumiputera di majlis pelancaran Jejak 2013 Iskandar Malaysia di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, SELASA, 05 Februari, 2013: Iskandar Malaysia yang berjaya mencatatkan pelaburan RM106 bilion hingga tahun lalu menyasar untuk menarik pelaburan dalam pelbagai sektor sebanyak RM21 bilion pada tahun ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pihaknya yakin jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan perkembangan positif di Iskandar Malaysia.

"Kami dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjangkakan menerima tidak kurang RM15 bilion. Namun, kita harap ia mampu mencecah RM21 bilion menjelang akhir tahun ini," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jejak 2013 Iskandar Malaysia yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Disember tahun lalu mengumumkan Iskandar Malaysia berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak RM105.14 bilion dalam pelbagai sektor dengan 42 peratus daripadanya telah direalisasikan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM67.69 bilion iaitu 64 peratus adalah pelaburan domestik, manakala 36 peratus (RM37.45 bilion) merupakan pelaburan asing dengan menyediakan 154,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Ismail yang terus diberi kepercayaan menerajui IRDA untuk tempoh tiga tahun lagi berkuat kuasa 1 Januari lalu berkata, beliau akan meneruskan agenda yang ditetapkan pucuk pimpinan.

"Selain itu, kita juga dipandu oleh Pelan Pembangunan Komprehensif bagi membangunkan Iskandar Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment