My Add

Wednesday 6 February 2013

Najib lancarkan MCKIP

Oleh HERMAN HAMID dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
 
 
KUANTAN, SELASA, 05 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng dekat sini hari ini, melibatkan nilai pelaburan RM10.5 bilion yang menawarkan sebanyak 8,500 peluang pekerjaan.

Najib berkata, pelancaran MCKIP yang merupakan taman perindustrian berstatus nasional pertama di negara ini menandakan babak baharu hubungan antara Malaysia-China yang dimulakan kira-kira empat dekad lalu oleh ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Menurut Perdana Menteri, MCKIP yang terletak di tapak seluas 600 hektar di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) itu akan dibangunkan secara bersama kedua-dua negara berdasarkan konsep ‘dipacu sektor swasta tetapi dipandu oleh kerajaan’.

Katanya, taman perindustrian itu berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai hab industri berorientasikan eksport dan teknologi tinggi yang mampu berkembang pesat berikutan kedudukannya yang hampir dengan Pelabuhan Kuantan.

“Limpahan ekonomi daripada MCKIP cukup meluas meliputi industri hiliran dan prosesan, pengangkutan dan logistik, latihan, peruncitan dan sektor berkaitan pelabuhan.

“MCKIP menjanjikan peluang kepada pelabur dari China dan negara lain serta memanfaatkan komuniti perniagaan Malaysia di samping penduduk Pahang dan Pantai Timur," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian MCKIP.

Majlis pelancaran MCKIP itu turut dihadiri Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China, Jia Qinglin; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Wakil Khas Perdana Menteri Ke China, Tan Sri Ong Ka Ting dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingan Issac.

Idea penubuhan MCKIP dicetuskan susulan pembukaan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang diberikan status kebangsaan oleh Majlis Negara China.

Jarak antara kedua-dua taman perindustrian itu dianggarkan mengambil masa tiga hari masa pelayaran.

Menurut Najib, selain pelaburan RM10.5 bilion yang menawarkan 8,500 peluang pekerjaan, tambahan RM2.5 bilion lagi akan dilaburkan Pemaju Induk melibatkan rakan kongsi Malaysia-China yang berperanan membina infrastruktur utama taman perindustrian tersebut.

Dalam pada itu Najib berkata, dalam tempoh lima tahun ini, kawasan Pantai Timur telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM38 bilion dan dengan pelancaran MCKIP prospek di wilayah tersebut semakin bertambah.

Sehubungan itu, beliau mahu dewan perniagaan tempatan, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta usahawan tempatan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diwujudkan di wilayah tersebut.

Dalam masa sama, Najib merakamkan penghargaan kepada Presiden China, Hu Jintao dan Perdana Menteri, Wen Jiabao kerana di bawah kepimpinan mereka hubungan Malaysia-China memasuki tahap lebih tinggi.

“Sokongan padu Perdana Menteri, Wen Jiabao kepada MCKIP dan kembarnya, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia merupakan bukti kepada wawasan beliau untuk kemakmuran bersama dan Malaysia juga berkongsi wawasan sama.

“Atas sebab itu, saya memberi perhatian secara peribadi kepada projek ini dengan permulaan, saya meminta pihak terlibat di negara ini memastikan pembangunan MCKIP dapat seiring dengan kemajuan rakan kita di Qinzhou dan hasilnya dalam tempoh empat bulan, taman perindustrian ini sedia untuk dilancarkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment