My Add

Saturday 16 February 2013

Kerajaan komited turunkan cukai - Najib

IPOH, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan akan mengekalkan dasar kewangan secara mampan bagi membolehkan rakyat menikmati penurunan kadar cukai tanpa menjejaskan keperluan menjana pembangunan ekonomi yang lebih pesat.

Perdana Menteri berkata, keunikan model ekonomi baharu yang dilaksanakan kerajaan mampu merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tanpa perlu membebankan rakyat dengan kadar cukai yang tidak munasabah.

Beliau menarik perhatian bagaimana banyak negara maju seperti Perancis berjaya muncul sebagai negara berpendapatan tinggi tetapi rakyatnya terpaksa membayar cukai individu mencecah 75 peratus.

''Sebaliknya di Malaysia, kadar cukai kita dari setahun ke setahun semakin menurun dan kini kadar tertinggi cukai individu ialah 25 peratus. Walaupun cukai kita semakin rendah tetapi pendapatan negara terus bertambah.

''Saya harap kadar cukai kita ini boleh dikurangkan lagi pada masa akan datang. Walaupun cukai rendah, tetapi pembangunan tetap kita teruskan untuk memesatkan ekonomi negara," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kemampuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencatatkan kutipan mencecah RM125 bilion tahun lalu, ketika rakyat terus menikmati penurunan cukai setiap tahun , membuktikan kerajaan melaksanakan model pembangunan ekonomi yang betul.

Menurut beliau, kejayaan menguruskan ekonomi secara mampan dan bertanggungjawab, membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program bantuan kepada rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

''Ini kerana kita dapat urus ekonomi negara dari segi mikro serta polisi kewangan mencetuskan perkembangan ekonomi secara mampan. Bukan bersikap populis, bukan untuk setahun dua, bukan untuk meraih undi, tetapi untuk meletakkan pembangunan ekonomi atas dasar tanggungjawab menjadikan masa depan kita lebih baik," ujarnya.

Dalam hubungan itu, Najib mengingatkan rakyat supaya tidak termakan dengan janji-janji manis pembangkang yang kononnya mahu memberi segala-galanya tetapi tiada perancangan jelas, tidak berpijak di bumi nyata, malah boleh meruntuhkan ekonomi negara.

Beliau menarik perhatian janji pembangkang mahu menurunkan harga minyak sedangkan Malaysia sudah menjadi antara lapan negara di dunia yang mengenakan harga bahan api paling murah dengan kerajaan memberi subsidi mencecah RM23 bilion setiap tahun.

''Mereka (pembangkang) hendak kurangkan lagi? Mana logiknya sedangkan minyak kita akan pupus suatu hari nanti. Kita tidak sama dengan negara (pengeluar minyak) lain seperti Arab Saudi, Kuwait atau Venezuela," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment