My Add

Saturday 16 February 2013

UTC Perak dilancar

IPOH, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, pusat sehenti ketiga seumpamanya di negara ini yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

Berkeluasan kira-kira 14,585 meter persegi, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Super Kinta itu merupakan UTC terbesar berbanding di Melaka dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, pembukaan UTC terbaharu itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan bandar.

Menurut beliau, UTC Perak dianggap istimewa kerana beroperasi di bangunan yang juga menempatkan pasar basah dan gelanggang futsal selain beroperasi tujuh hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 10 malam.

''Dengan adanya UTC ini, kita hendak beri nafas baharu kepada kawasan bandar lama Ipoh ini. Saya diberitahu walaupun baharu dibuka sebulan, lebih 50,000 pengunjung sudah datang dan menjalani urusan mereka di sini," katanya ketika berucap merasmikan pusat itu.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 15 penerima bantuan itu.

UTC Perak yang terletak di Jalan Dato Onn Jaafar menempatkan 57 agensi kerajaan dan swasta termasuk pejabat tanah, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Imigresen, Kedai Buku 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Najib memberitahu, beliau sempat bertanya kepada pegawai berkenaan mengenai sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan di pusat sehenti itu.

''Mereka kata waktu paling sibuk ialah 8.30 malam hingga 10 malam. Ini bererti UTC adalah kemudahan yang diperlukan. Kalau dahulu rakyat sukar berurusan kerana bekerja, sekarang selepas kerja atau solat, mereka boleh datang berurusan dengan jabatan kerajaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment